NATIONAL
Nakbah 77: BDS seru rakyat Malaysia teruskan kempen boikot

Lebih 1,000 peserta himpunan pro Palestin melaungkan “Bebas Palestin”, “Palestin Merdeka” dan “Hentikan Genosid” sempena memperingati ulang tahun ke-77 peristiwa Nakbah (Nakbah 77) di Kuala Lumpur. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar.
KUALA LUMPUR: Penganjur himpunan pro Palestin menyeru rakyat Malaysia agar meneruskan kempen boikot ke atas beberapa syarikat yang didakwa membantu rejim Israel melakukan jenayah perang ke atas warga Palestin.
Pengerusi BDS Malaysia, Profesor Mohd Nazari Ismail berkata, kerajaan Malaysia dan warganya boleh berbuat sesuatu dalam usaha untuk menyekat jenayah genosid yang dilakukan oleh Israel.
"Kita juga menyeru rakyat Malaysia memboikot syarikat-syarikat yang kita tahu sedang membantu Israel melakukan genosid dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin," katanya semasa sidang media himpunan Nakbah 77 di Kuala Lumpur pada 16 Mei.
Peserta himpunan sebelum itu berarak dari Menara Tabung Haji menuju ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur untuk menyerahkan memorandum peringatan Hari Nakbah kepada wakil pesuruhjaya.Memorandum tersebut antara lain menggesa United Kingdom menghentikan penjualan senjata dan sokongan diplomatik terhadap rejim apartheid dan penjajahan pihak Israel.
Dalam kenyataan yang sama penganjur juga menuntut United Kingdom memohon maaf secara rasmi, untuk Deklarasi Balfour dan peranan dalam perampasan tanah Palestin.
Nazari selaku wakil penganjur himpunan mengulas mengenai pertemuannya bersama wakil pesuruhjaya iaitu Kaunselor Politik United Kingdom di Malaysia, Ruzina Hassan di Menara Binjai.
"Dia (Ruzina) berkata bahawa United Kingdom meneruskannya kerana dia membekalkan lesen sahaja kepada syarikat-syarikat yang membekalkan senjata kepada Israel dan dia tidak membekalkan senjata. Maka saya beritahu dia alasan itu tidak boleh diterima," katanya lagi.
Malah Nazari memberi jaminan himpunan seperti itu akan diadakan pada masa akan datang dalam usaha menyedarkan orang ramai mengenai perjuangan pembebasan rakyat Palestin.
Lebih 1,000 peserta himpunan pro Palestin melaungkan “Bebas Palestin”, “Palestin Merdeka” dan “Hentikan Genosid” sempena memperingati ulang tahun ke-77 peristiwa Nakbah (Nakbah 77) di Ibu Kota.
Selesai menghantar memorandum, peserta himpunan berarak ke tapak parkir kira-kira 100 meter berhampiran kedutaan AS di Jalan Tun Razak pada jam 3.30 sambil menyanyikan lagu-lagi perjuangan Palestin.
Himpunan tersebut selesai sekitar jam 5.00 petang, turut kelihatan beberapa anggota pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengawal lalu lintas demi memastikan kelancaran himpunan yang diadakan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami