NATIONAL
Nanostix seru kerajaan negeri fokus penguatkuasaan, bukan pengharaman vape

Nanostix berkata, pengharaman di peringkat negeri akan menjejaskan industri sah dan menguatkan pasaran gelap. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Nanostix Innovations Sdn Bhd, pengeluar utama vape di Malaysia, menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan beberapa kerajaan negeri mengharamkan penjualan vape walaupun Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam (Akta 852) telah diluluskan di peringkat Persekutuan.
Ringkasan AI
- Nanostix Innovations Sdn Bhd menyuarakan kebimbangan terhadap pengharaman penjualan vape oleh beberapa kerajaan negeri walaupun Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam telah diluluskan di peringkat Persekutuan.
- Shahabudeen Jalil, Ketua Pegawai Eksekutif Nanostix, menegaskan bahawa pengharaman di peringkat negeri akan menjejaskan industri sah dan menguatkan pasaran gelap, serta menyarankan beberapa langkah strategik seperti memperkukuh penguatkuasaan dan kawalan bahan mentah tempatan.
- Nanostix komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan industri vape di Malaysia berkembang secara sihat dan bertanggungjawab, serta berharap keputusan kerajaan negeri dapat disemak semula demi kepentingan pengguna dan industri tempatan.
Beliau menekankan bahawa fokus utama sepatutnya pada penyalahgunaan vape haram termasuk produk seperti 'magic mushroom' yang dijual secara terbuka di media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Langkah strategik yang disarankan Nanostix:
1. Perkukuh Penguatkuasaan: Pantau penyeludupan bahan terlarang di pintu masuk negara.
2. Kawalan bahan mentah tempatan: Utamakan produk tempatan berkualiti.
3. Libat urus dengan industri: Dialog terbuka sebelum membuat keputusan besar.
4. Kesedaran Pengguna: Beri maklumat jelas tentang produk sah dan haram.
Mengulas lanjut, Shahabudeen berkata, masalah sebenar adalah penyeludupan, bukan industri tempatan yang patuh undang-undang.
"Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar,” katanya.
Beliau turut mencadangkan sekatan import cecair vape untuk mengawal kemasukan produk berbahaya dan tidak berdaftar.
Menurut Shahabudeen, langkah ini akan memastikan hanya produk berkualiti tinggi ditawarkan kepada pengguna tempatan.
“Ini bukan sahaja mengurangkan risiko produk berbahaya, tetapi juga memberi ruang kepada pengusaha tempatan untuk berkembang dengan selamat dan terkawal,” tambahnya.
Beliau berkata, Nanostix komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan industri vape di Malaysia berkembang secara sihat dan bertanggungjawab.
“Kami yakin bahawa masa depan industri ini bergantung kepada keseimbangan antara kawal selia yang efektif dan sokongan kepada pemain industri tempatan,” tegas Shahabudeen.
Nanostix berharap keputusan kerajaan negeri dapat disemak semula, demi kepentingan pengguna dan industri tempatan yang mematuhi undang-undang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami