PUTRAJAYA: Kerajaan berada di landasan tepat dalam usaha membangunkan Pelan Tindakan Nasional Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) yang dijangka dilancarkan pada 2023, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata pengenalan pelan tindakan buat julung kalinya di Malaysia itu diterajui oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, dan disokong oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) serta Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP).

Katanya NAPBHR akan menggunakan Prinsip-prinsip Panduan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGP) yang dibina atas tiga tonggak utama yakni "perlindungan, hormat dan remedi" sebagai dokumen panduan.

"Ia meliputi tanggungjawab negara untuk melindungi hak asasi manusia, tanggungjawab korporat untuk menghormati hak asasi manusia, dan akses mangsa kepada remedi bersifat kehakiman dan bukan kehakiman," katanya dalam kenyataan sempena Persidangan Nasional Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia pada Selasa.

Wan Junaidi berkata pembangunan NAPBHR akan memberi fokus kepada tiga bidang tematik - tenaga kerja, persekitaran dan tadbir urus - yang dipilih selepas perbincangan mendalam dengan pihak-pihak berkepentingan, termasuk pelbagai jabatan, agensi, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

"Kita tidak boleh menafikan kepentingan untuk mengadakan rundingan awam yang komprehensif dengan semua pemegang taruh yang berkaitan semasa proses pembangunannya. Pandangan serta pendapat semua pihak diambil kira," katanya.

-- BERNAMA