Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd, Datuk Seri Nazir Razak menganggap tempoh rehatnya selama 30 hari dari jawatan yang dipegangnya sebelum ini, adalah satu tempoh masa yang sukar dan menyakitkan.

Nazir berkata demikian sewaktu temuramah eksklusif bersama personaliti Harith Iskander, dalam program bual bicara terbitan Astro AWANI, Obviously Harith Iskander yang bersiaran pada Sabtu.

Nazir direhatkan daripada jawatannya bermula 19 April lalu, selepas satu laporan The Wall Street Journal yang melaporkan tentang kewujudan wang AS$7 juta di dalam akaunnya.

"Ia menyakitkan. Pihak lembaga pengarah perlu membuat siasatan dan meneliti dua perkara, sama ada saya ada melakukan kesalahan dan sama ada mereka masih mahu saya mengetuai mereka sebagai Pengerusi.

"Untuk memastikan siasatan dilakukan dengan telus, saya sedar saya perlu berundur seketika.

"Ia bukan satu tempoh masa yang menyenangkan," ujar Nazir.

Selama 25 tahun bergelumang dalam industri perbankan, Nazir mengakui beliau sering berhadapan dengan situasi di mana beliau perlu membuat keputusan dengan cepat.

Biarpun begitu, beliau berharap agar keputusan yang diambil itu tepat dan betul, serta tidak akan "membunuh"nya.

Dalam program berdurasi sejam itu, Nazir turut berkongsi pengalaman membesar sebagai anak orang kenamaan ketika era bapanya, Tun Abdul Razak Hussein berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Anak bongsu lima beradik itu mengakui sedar akan perbezaan kehidupan yang dilaluinya semenjak kecil lagi.

"Rakan saya terkejut melihat rumah saya dengan ramai anggota polis di sekitar kawasan itu," jelasnya ringkas.

Beliau juga tidak berahsia apabila ditanya Harith tentang apa yang dibualkan antara beliau dan adik beradiknya.

"Kami berbual tentang hal-hal serius tetapi kami juga bercakap tentang hal-hal keluarga," jawab Nazir.

Harith yang dikenali dengan perwatakan bersahaja, turut melontarkan beberapa pertanyaan berbentuk usikan, antaranya tentang 'sotong' yang dipilih sebagai maskot CIMB.

Dalam nada selamba, Nazir berkata sotong itu melambangkan variasi fungsi perbankan atas talian yang ditawarkan CIMB.

Namun, di Indonesia ia terpaksa ditarik balik kerana sotong adalah "nama samaran untuk ahli politik yang korup".