Skip to main content

Malaysia

NCER sasar realisasi pelaburan RM470 bilion menjelang 2030

PUTRAJAYA, 15 Sept - Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir (dua kiri) menunjukkan Pelan Pembangunan Strategik Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang dilancarkan hari ini. Turut sama Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Seri Nor Azmie Diron (kanan) dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Mohamad Haris Kader Sultan (kiri). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA  Photographed By: FAISAL JAAFAR  Filename: PTJ17_15092026_STRATEGIK_NCER.JPG
Akmal Nasrullah (dua kiri) menunjukkan Pelan Pembangunan Strategik NCER yang dilancarkan hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menyasarkan untuk merealisasikan pelaburan kumulatif sebanyak RM470 bilion menjelang 2030, dengan 70 peratus daripadanya akan disumbang oleh sektor utama seperti elektrik dan elektronik, automotif, pelancongan bernilai tinggi dan pertanian moden.

Sasaran itu adalah hasil daripada inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030, yang dilancarkan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir hari ini.

Ia meningkat sebanyak RM126.2 bilion daripada RM343.8 bilion di bawah pelan pembangunan NCER sebelum ini.

Pelan baharu itu turut menyasarkan untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Wilayah Utara kepada paras RM369 bilion, mewujudkan 310,000 peluang pekerjaan berkualiti termasuk 45 peratus pekerjaan berkemahiran tinggi dan meningkatkan pendapatan isi rumah median kepada RM7,500.

Akmal Nasrullah berkata pelan itu adalah manifestasi komitmen kerajaan untuk menterjemahkan wawasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) ke peringkat wilayah secara tersusun dan berimpak tinggi.

“Pelan ini bukan sekadar dokumen perancangan tetapi merupakan pemangkin utama dalam memacu NCER sebagai peneraju pelaburan perindustrian bernilai tinggi dan hab global penyelidikan, pembangunan, komersialisasi serta teknologi dan inovasi,” katanya pada Taklimat Media: Pelan Pembangunan Strategik NCER di sini.

Akmal Nasrullah berkata sasaran ini bukan sekadar angka tetapi cerminan komitmen untuk memastikan setiap pelaburan yang masuk diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, pekerjaan berkualiti dan kesejahteraan rakyat di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Katanya bagi mencapai sasaran ini, pelan baharu ini disokong oleh empat teras, iaitu Meningkatkan Keupayaan; Memacu Inovasi; Mengupayakan Pertumbuhan dan Memanfaatkan Kelebihan Wilayah.

Beliau berkata teras ini turut disokong oleh 15 strategi dan 21 inisiatif yang dirangka untuk memastikan sasaran dapat dicapai.

“Pelan baharu ini akan menjadi panduan yang jelas dan berkesan dalam mengemudi Wilayah Utara sepanjang tempoh RMK13 untuk muncul sebagai model pembangunan wilayah yang berjaya bukan sahaja di Malaysia, malah pada peringkat serantau.

“Pelan strategik ini mengutamakan pertumbuhan yang lebih seimbang antara negeri serta kawasan bandar dan luar bandar melalui elemen peningkatan produktiviti sektor utama; pemerkasaan rakyat dan bakat; pengukuhan infrastruktur dan kesalinghubungan; pemacuan inovasi; penambahbaikan jaringan sosial serta pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

Antara projek jangka panjang utama yang akan mengubah landskap Wilayah Utara ialah Taman Sains dan Teknologi Kedah, Hab Logistik dan Pembuatan Termaju Sidam, Bandar Getah Kedah, Kawasan Perindustrian Lembah Chuping, Kawasan Perindustrian Bagan Dato, Penang Silicon Island dan Zon Ekonomi Sempadan Utara Semenanjung.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata NCER akan menyelaras kerjasama rentas kerajaan, kementerian dan agensi untuk menghubungkan pelaburan dengan bakat, teknologi, perusahaan tempatan dan rantaian bekalan bagi menjana nilai ekonomi lebih meluas untuk merealisasikan sasaran baharu ini. 

“Berdasarkan pencapaian memberangsangkan yang direkodkan NCER dalam RMK12, sasaran yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030 ini telah melangkaui sasaran dalam RMK13 untuk Wilayah Utara.

”Dengan hala tuju yang jelas dan pelaksanaan yang berkesan, saya yakin NCER mampu memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan pilihan dan hab teknologi bertaraf dunia demi merapatkan jurang pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement