ISTANBUL: Negara dan organisasi Arab dan Islam memuji perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kepada Israel supaya membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang dalam kepungan tenteranya, menurut Agensi Anadolu (AA).

Arab Saudi berkata arahan terbaharu daripada mahkamah teratas Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) itu pada Khamis sebagai dialu-alukan dengan Kementerian Luarnya mengeluarkan kenyataan mengulangi pendirian Riyadh "yang menyokong kesemua usaha untuk menambah pembekalan bantuan kemanusiaan dengan segera dan mengurangkan krisis kemanusiaan yang meruncing di Gaza."

Ia juga mengulangi gesaannya supaya "masyarakat antarabangsa mengambil langkah tambahan untuk menghentikan Israel daripada melanggar undang-undang antarabangsa dan melaksanakan resolusi Majlis Keselamatan yang mengarahkan satu gencatan senjata."

Kementerian Luar Kuwait juga memuji perintah ICJ, dan menekankan dalam satu kenyataan "kepentingan kesemua masyarakat antarabangsa mengenakan tekanan ke atas tentera Israel bagi memastikan pematuhan terhadap perintah mahkamah dan resolusi PBB dan memudah cara kemasukan segera bantuan kemanusiaan ke Gaza."

Kementerian Luar Lubnan juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk "bertindak segera menghentikan konflik di Semenanjung Gaza serta pelanggaran undang-undang kemanusiaan oleh Israel dan untuk melaksanakan Resolusi 2728 Majlis Keselamatan".

Satu kenyataan daripada Liga Dunia Muslim pula memuji keputusan ICJ, mengetengahkan "keperluan kepada langkah untuk mengurangkan penderitaan orang awam di Gaza daripada malapetaka itu."

Liga itu juga menekankan "kepentingan setiap usaha untuk menguatkuasakan undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan, mematuhi kepada resolusi antarabangsa yang sah dan merumuskan konflik yang membawa kebinasaan ini telah membawa kepada pembunuhan dan kemusnahan yang meluas."

Israel melancarkan serangan ketenteraan ke atas Gaza sejak Oktober lepas dan mengakibatkan kematian lebih 32,600 warga Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak sementara lebih daripada 75,000 individu cedera selain daripada kemusnahan penempatan dan kekurangan barangan keperluan asas.

ICJ pada Khamis mengeluarkan perintah mahkamah kepada Israel supaya bertindak tanpa berlengah-lengah untuk menjamin pembekalan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan termasuk makanan, air, bahan api dan bekalan ubat-ubatan tanpa halangan.

Mahkamah Dunia itu mendapati warga Palestin di Gaza bukannya berada dalam risiko kebuluran tetapi mereka sudah mula mengalaminya.

-- BERNAMA