SHAH ALAM: Pengguna media sosial mempersoalkan isu kehadiran individu-individu ternama ke majlis tahnik yang diadakan oleh penyanyi terkemuka tanah air Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Rata-rata netizen meluahkan rasa ketidakpuashatian mereka apabila individu tersebut dibenar merentas negeri untuk hadir ke majlis tahnik itu.

Antara yang dapat dilihat di majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, tiga penceramah terkenal Azhar Idrus, Don Daniyal Don Biyajid dan Iqbal Zain.

Warganet mempersoalkan kehadiran Zulkifli dan Azhar Idrus yang dikatakan merentas negeri kerana menetap di luar dari kawasan Selangor mahupun Kuala Lumpur.

Salah seorang pengguna Facebook, mempersoalkan kelebihan majlis tahnik tersebut sehingga membenarkan individu berkenaan merentas negeri apabila permohonan bapanya untuk melawat cucu tidak dibenarkan.

Tegasnya, alasan yang diberikan oleh pihak polis ialah kerana bayi tersebut dikatakan berisiko tinggi untuk dijangkiti wabak COVID-19.

“Semalam bapa aku mohon untuk melawat cucu yang baru lahir, baru pertama kali nak jumpa tapi polis tak benarkan sebab katanya budak baru lahir berisiko tinggi.

“Puak agamawan yang berkumpul rumah CTDK (Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa) yang buat majlis lahir budak baru lahir ni tidak berisiko tinggi ke?” luahnya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut seorang pelayar lain, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengeluarkan saman kepada Siti Nurhaliza dan keluarga disebabkan perkara tersebut.

Katanya, sebelum majlis tahnik itu dilakukan, terdapat pelbagai lagi acara yang dilakukan namun masih tiada tindakan.

Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.