Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan kekesalannya atas pembatalan sebuah forum dialog minggu lalu bagi menjawab beberapa isu yang menjadi kontroversi kebelakangan ini.

Program 'Dialog PM Bersama NGO' pada 5 Jun itu turut dihadiri mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pengkritik tegar polisi kerajaan pimpinan Najib, terutamanya berhubung isu pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib dalam posting terbaharu di blognya najibrazak.com hari ini turut menyatakan kesediaan untuk berdepan dengan Dr Mahathir bagi memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit.

“Tun Mahathir berhak bertanya dan saya sanggup memberi penjelasan kepada beliau. Ini saya lakukan agar perkara munasabah yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir dapat dijelaskan," tulisnya.

BACA: #Nothing2Hide: Najib sedia berdialog dengan NGO

BACA: Dr M datang tidak dijemput, kata penganjur #Nothing2Hide

BACA: #Nothing2Hide: Tun M hanya hadir untuk 'hentam' Najib - Salleh

Walau bagaimanapun, katanya, beliau akan terus menyampaikan maklumat dalam apa jua cara yang baik dan berhemah pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Najib menjelaskan tindakannya tidak muncul pada forum Dialog PM bersama NGO "Nothing2Hide" pada 5 Jun lalu adalah demi menjaga nama baik kerajaan dan parti.

Menurutnya, sebagai perdana menteri, tidak wajar bagi beliau berdebat secara terbuka di khalayak ramai dengan bekas perdana menteri yang juga dari parti politik yang sama.

BACA: Kronologi #Nothing2Hide: Di sebalik pembatalan Dialog PM bersama NGO

Perubahan format daripada majlis dialog tertutup kepada majlis pembahasan terbuka juga akan memburukkan lagi pertembungan politik di antara beliau dan Dr Mahathir.

“Majlis ini telah bertukar format, daripada satu majlis dialog tertutup kepada majlis perbahasan terbuka.

"Perubahan-perubahan seperti ini akan mengakibatkan majlis ini menjadi pencetus konfrontasi politik terbuka di antara Tun Mahathir dengan saya,” tulisnya lagi.

Katanya debat terbuka tidak membawa sebarang kebaikan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Katanya lagi, sebagai perdana menteri dan Presiden UMNO, adalah menjadi tanggungjawab beliau menjaga nama baik kerajaan dan parti.

BACA: #Nothing2Hide: Najib terlepas peluang berharga - Tun Mahathir

Sesi 'Dialog PM Bersama NGO-NGO' anjuran SukaGuam dan JASA pada Jumaat telah dibatalkan pada saat akhir atas arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan atas faktor keselamatan.

Mengulas lanjut, Najib berkata walaupun pelan rasionalisasi untuk mengurangkan hutang 1MDB dilaksanakan, namun usaha itu tidak disambut baik pihak yang mengkritik isu hutang 1MDB.

1MDB baru-baru ini dilapor berjaya membuat pembayaran sebanyak RM3.6 bilion ke arah mencapai matlamat mengurangkan hutang syarikat pelaburan negara itu yang berjumlah RM42 billion.

BACA: Pembatalan Dialog 'Nothing To Hide' bukan atas arahan Najib atau saya - Zahid