KUALA LUMPUR: Notis penamatan berhubung perolehan perjanjian langganan saham (SSA) yang dikeluarkan Telekom Malaysia Bhd (TM) kepada Digital Nasional Bhd (DNB) tidak memberikan kesan kepada pelaksanaan rangkaian 5G negara, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Malah Fahmi berkata setakat 30 April lepas, pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini telah mencapai tahap 61.7 peratus.

"Jadi (pelaksanaan 5G) memang bergerak dan kita menjangkakan menjelang hujung tahun ini kita akan dapat mencapai 80 peratus.

"Apabila kita telah mencapai 80 peratus pelaksanaan rangkaian 5G, maka kita akan ada peralihan daripada satu rangkaian borong kepada dwirangkaian," katanya ketika ditemui pada Majlis Sekalung Budi bersama Menteri Komunikasi dan Digital di Angkasapuri di sini hari ini.

Beliau berkata pengumuman yang dibuat syarikat telekomunikasi itu selaras dengan terma perjanjian yang dari segi prosedur mereka perlu memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa perbincangan sebelum ini telah dihentikan dan sebarang perkara yang telah dipersetujui sebelum ini telah ditarik balik.

"Setelah kerajaan mengumumkan hala tuju baharu untuk pembangunan dan pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia, maka dari segi proses dan prosedur mereka kena maklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa perbincangan yang lama dihentikan dan apa-apa yang telah dipersetujui sebelum ini ditarik balik. Bagaimanapun perbincangan baharu akan dimulakan.

"Mereka (syarikat telco) boleh memulakan perbincangan baharu kerana terma kini berbeza," katanya sambil menambah satu pasukan petugas (taskforce) turut akan dibentuk bagi memantau proses pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini.

Semalam, TM telah mengeluarkan notis penamatan kepada DNB, berkuat kuasa serta-merta, selaras dengan terma SSA untuk melanggan 20 peratus kepentingan ekuiti dalam DNB.

Ini berikutan tarikh lanjutan untuk memenuhi semua syarat duluan (CP) di bawah SSA telah luput, menurut TM dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

-- BERNAMA