Inovasi Audi di dalam memperkenalkan panel instrument digital sepenuhnya yang dinamakan ‘Virtual Cockpit’ bagi sebuah model pengeluaran masih lagi menarik banyak perhatian. Bukan sahaja itu; seperti yang dapat dilihat daripada video daripada Audi UK di bawah, ianya juga sangat responsif dan pantas.



Mengikut penerbitan pcworld.com, kemampuan ‘Virtual Cockpit’ ini adalah dengan bantuan syarikat perkakasan kad video terkenal Nvidia. Antara punca paparan pada skrin 12.3 inci (resolusi 1,440 x 540 piksel) itu kelihatan begitu tajam adalah kerana kadar segar semula (refresh rate) 60fps yang digunakan.

Cip Tegra 3 dengan pemproses khusus untuk video, bunyi dan imejan adalah kuasa utama untuk modul visual berkomputer (VCM, Visual Computing Module) ‘Virtual Cockpit’ ini.

Modul VCM ini juga boleh dinaiktaraf, jadi ia boleh digantikan dengan mudah apabila spesifikasi yang lebih kuat diperlukan.

TT merupakan model pertama daripada Audi yang menggunakan inovasi ini, tetapi sekarang ia juga digunakan di dalam model R8 dan Q7 baharu, sebelum diturunkan kepada model-model lain seperti A8 dan A5.

Penggunaan ‘Virtual Cockpit’ Audi ini memberi kelebihan kepada tumpuan pemandu, yang tidak perlu menoleh jauh daripada arah jalan untuk meneliti maklumat-maklumat penting seperti output sistem navigasi.

Menyebut tentang itu, sistem navigasi Audi dikuasakan perkhidmatan pemetaan dan lokasi HERE. Ia digunakan serentak dengan Google Earth untuk peta yang lebih realistik.