MALAYSIA
Op Metal: SPRM sita aset lebih RM183 juta, beku akaun bank RM51 juta

Operasi dikenali sebagai Op Metal memasuki hari kedua dengan membabitkan serbuan di salah sebuah kilang di Seberang Perai, Pulau Pinang pada Selasa. - Foto Astro AWANI
SEBERANG PERAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset dianggar bernilai lebih RM183 juta susulan serbuan terhadap sindiket penyeludupan besi di lima negeri yang bermula pada Isnin.
Ringkasan AI
- SPRM menyita aset bernilai lebih RM183 juta termasuk hartanah, kereta mewah, dan jam tangan hasil serbuan sindiket penyeludupan besi di lima negeri.
- Sebanyak 127 akaun syarikat dan individu dibekukan bernilai sekitar RM51 juta, manakala penggeledahan diteruskan di 13 lokasi lain.
- Kerajaan dianggarkan rugi lebih RM950 juta akibat kegiatan sindiket sejak enam tahun lalu, dengan siasatan melibatkan pelbagai akta termasuk pengubahan wang haram.
“Ia termasuk 31 ekar tanah di Nibong Tebal, 7.1 ekar tanah di Batu Uban, 5.6 ekar tanah di Juru selain lebih 1,960 ekar tanah ladang sawit di Kuala Krai, Kelantan.
"SPRM turut menyita enam unit kereta mewah yang terdiri daripada model Porsche Cayenne, Range Rover, BMW, Volvo, Toyota Land Cruiser, dan Toyota Alphard yang keseluruhannya dianggar bernilai lebih RM1.9 juta,” katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.
Pada serbuan itu juga, SPRM turut menyita lima unit jam tangan berjenama Patek Phillippe, Tag Tag Heuer, Rolex, Omega Speedmaster, dan Omega Seamaster dianggarkan bernilai lebih RM740,000.
Serbuan itu dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan jumlah sitaan berkenaan.
Katanya, susulan operasi pada Isnin itu, SPRM turut membuat penggeledahan di 13 lokasi baharu di Pulau Pinang, Kedah, Johor, dan sekitar Lembah Klang hari ini.
"SPRM kini sedang mengenal pasti pihak-pihak yang bersekongkol dengan sindiket ini yang menyeludup keluar besi serta bahan buangan e-waste melalui Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang sehingga menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai dianggarkan berjumlah lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu,” kata Azam.
Beliau berkata, fokus siasatan menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009.
“Kita juga mengenal pasti elemen-elemen kesalahan jenayah lain mengikut kesalahan aktiviti pengubahan wang haram termasuk siasatan kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 serta Akta Kastam 1967 oleh agensi-agensi lain yang terlibat alam operasi ini," ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami