NATIONAL
Operasi lorong bas Jalan Ampang diperluas ke waktu puncak petang mulai 19 Mei

Langkah ini dijangka mempercepatkan perjalanan dan memberi manfaat kepada pengguna laluan bas utama serta bas perantara. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Operasi lorong bas di Jalan Ampang akan diperluas ke waktu puncak petang bermula 19 Mei ini, melibatkan tempoh dari 4.30 petang hingga 7 malam setiap Isnin hingga Jumaat.
Ringkasan AI
- Perluasan Operasi Lorong Bas Bermula 19 Mei - lorong bas di Jalan Ampang akan beroperasi pada waktu puncak petang (4.30 petang hingga 7 malam) setiap Isnin hingga Jumaat untuk meningkatkan kelancaran perjalanan.
- Manfaat kepada Penumpang - Langkah ini dijangka mempercepatkan perjalanan dan memberi manfaat kepada pengguna laluan bas utama serta bas perantara dari beberapa kawasan seperti Pandan Indah dan Bukit Indah.
- Pemantauan dan Kesedaran - Prestasi pelaksanaan akan dinilai selama tiga bulan bersama pihak berkaitan, sementara pengguna jalan raya diseru mematuhi peraturan demi keselamatan dan kelancaran trafik.
Sejak diperkenalkan pada 3 Julai 2023, lorong bas Jalan Ampang mencatatkan peningkatan purata penumpang harian daripada 12,819 kepada 14,424 orang, peningkatan sebanyak 12.52 peratus, selain berjaya mengurangkan masa perjalanan antara 10 hingga 15 minit.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Ku Jamil Zakaria berkata pihaknya yakin kelancaran perjalanan dan penjimatan masa hasil inisiatif itu akan terus menarik lebih ramai pengguna untuk beralih kepada pengangkutan awam.
Beliau turut menyeru semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan dan tidak menyalahgunakan lorong bas demi kepentingan bersama.
Penilaian prestasi pelaksanaan itu akan dijalankan selama tiga bulan bersama JKR, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Kementerian Pengangkutan bagi menilai aspek masa perjalanan, kelajuan bas, keselamatan jalan raya dan tahap kesesakan lalu lintas di kawasan terlibat.
Orang ramai disaran merancang perjalanan menggunakan aplikasi PULSE yang boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store, manakala lokasi bas boleh disemak secara masa nyata menerusi Google Maps.
Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh disalurkan melalui platform media sosial rasmi Rapid KL.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami