KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki dan merampas daun ketum seberat 350 kilogram (kg) serta pelbagai jenis dadah seberat 325 gram (g) yang kesemuanya bernilai RM28,621 dalam tiga serbuan di sekitar ibu kota malam tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata dalam serbuan pertama di sebuah pangsapuri di Jalan Klang Lama, polis menahan seorang suspek selepas menemukan beberapa jenis dadah antaranya serbuk MDMA seberat 169g, methamphetamine (27.5g), serbuk ketamin (18.31g), pil erimin 5 (2.85g) dan pil ecstacy (37.87g) di dalam pangsapuri berkenaan.

Beliau berkata dalam serbuan kedua di kawasan berhampiran Pasar Sri Sentosa Jalan Seri Sentosa, pula polis berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 45g, methamphetamine (10g), ganja (17g) dan menahan seorang lagi suspek.

"Di lokasi ketiga serbuan di Persiaran Zaaba, Taman Tun Dr Ismail polis berjaya menemukan daun ketum seberat 350kg dan ubat batuk sebanyak 8,230 mililiter," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Sementara itu Amihizam berkata polis mengeluarkan 299 kompaun dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah 'Ops Ambang 2022' di sekitar Jalan Telawi, Bangsar, Solaris dan di sekitar Bandar Baru Sri Petaling, bagi kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau berkata pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 637 individu dan 33 buah premis perniagaan di kawasan terbabit dalam operari itu.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Delhan Yahaya berkata 12 orang dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang kerana melanggar SOP di sekitar kawasan Bukit Bintang ketika ambang tahun baharu 2022 semalam kerana tidak mengendahkan amaran yang dikeluarkan oleh polis supaya tidak berhenti dan berkumpul di kawasan terbabit.

"Walaupun dalam keadaan hujan renyai ketika waktu puncak ambang tahun baru 2022 pihak kami menganggarkan seramai 700 hingga 1,000 orang mula hadir sekitar kawasan ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Tinjauan Bernama di sekitar ibu kota seperti di Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan KLCC mendapati kawasan itu yang menjadi tumpuan ketika menyambut ambang tahun baharu dipenuhi pengunjung dari pelbagai bangsa.

Pihak polis turut kelihatan mengawal keselamatan di kawasan-kawasan berkenaan.

-- BERNAMA