Seramai 27 penagih, termasuk lima wanita, ditahan dalam 'Ops Tapis Khas' yang dijalanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

ASP Mohd Ashril Md Johar, yang mengetuai operasi bagi kawasan sekitar Chow Kit, berkata operasi itu adalah bagi membasmi dan mengatasi masalah penagihan dadah di kawasan itu.

"Operasi bermula kira-kira pukul 4 petang dan sehingga 6 petang tadi, seramai 27 penagih termasuk lima perempuan berusia lingkungan 20-an dan 50-an ditahan dalam operasi sekitar Chow Kit ini.

"Ada yang kita tahan di dalam rumah sewa yang dijadikan sarang penagih, dan ada juga kita tahan ketika berkeliaran di jalanan," katanya kepada pemberita selepas operasi selesai.

Sementara itu, seorang penagih berusia 51 tahun yang ditahan ketika leka menghisap dadah mengaku meskipun sudah lapan kali keluar masuk penjara, namun itu tidak menghalang dia daripada meneruskan kegiatannya.

"Saya dah lapan kali keluar masuk penjara, dan empat kali keluar masuk pusat pemulihan... nak bawa saya ke manapun saya tidak kisah, saya suka... saya ni tunggu masa sahaja nak mati," katanya.

Mohd Ashril berkata mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Beliau berkata operasi itu dijalankan serentak di setiap daerah Kuala Lumpur dalam tempoh 48 jam, dan statistik tangkapan keseluruhan akan diperoleh dalam masa terdekat selepas semua operasi berakhir.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini berkata polis akan melancarkan operasi besar-besaran bagi membasmi dan mengatasi masalah penagihan dadah di seluruh negara, terutama sekitar Lembah Kelang.

Beliau berkata operasi itu akan dipertingkat dan diperluas bukan sahaja dengan menahan pengedar malah penagih dadah.