KUALA LUMPUR: Orang ramai boleh mula memberi penghormatan terakhir hari ini kepada bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia di Kuala Lumpur semalam.

Upacara penghormatan terakhir itu akan berlangsung di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Bagi tujuan itu, orang ramai diberi masa selama 4 jam setengah bermula jam 8 pagi hingga jam 11.30 pagi.

Jenazah bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak itu kemudiannya akan dibawa ke rumah Allahyarham di Demak Jaya, Jalan Bako, Kuching.

Berdasarkan perjalanan jadual yang dikongsikan bersama media, jenazah Abdul Taib akan dibawa ke Masjid Demak berdekatan kediaman beliau untuk disolatkan sebelum disemadikan di perkuburan keluarga di Demak Jaya.

Pengkebumian akan disempurnakan selepas solat Zohor.

Terdahulu, jenazah Allahyarham bekas Ketua Menteri Sarawak paling lama itu tiba di Kuching pada petang Rabu bagi upacara pengebumian selepas diterbangkan dari Subang menggunakan pesawat Tentera Udara Malaysia (TUDM).

Abdul Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada jam 4.40 pagi Rabu selepas menerima rawatan selama kira-kira seminggu di hospital berkenaan.