LENGGONG: Daerah Lenggong dipilih menjadi lokasi pertama penganjuran Karnival Agropelancongan Perak 2024 (PAC 2024) dalam usaha memperkenalkan produk sedia ada di Lenggong Geopark yang bakal diangkat sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Datuk Yahanis Yahya berkata, karnival yang dianjurkan julung kali selama tiga hari pada 17 Mei sehingga 19 Mei ini sarat dengan pelbagai program dan aktiviti menarik, menawarkan pengalaman luar biasa kepada pengunjung.

"Keunikan dan keistimewaan lokasi-lokasi menarik di seluruh Perak akan dihimpunkan buat julung kalinya dalam Karnival PAC 2024 anjuran Perak SADC bersempena Tahun Melawat Perak 2024," katanya kepada pemberita pada majlis pengenalan PAC 2024, di sini.

Beliau berkata, pelbagai tawaran menarik turut diatur buat pengunjung antaranya pameran agropelancongan yang menawarkan pakej potongan harga sehingga 40 peratus daripada agensi pelancongan, pusat rekreasi agro, pengusaha sukan lasak, hotel serta resort yang terkemuka.

Ia termasuklah pakej 'Explore Nature Kampungku' merangkumi pakej ke 24 lokasi budaya dan bersejarah di tiga bandar utama Perak iaitu Kuala Kangsar, Lenggong dan Taiping, sepanjang tiga hari dua malam dengan harga istimewa.

Bagi produk pelancongan di Lenggong, pengunjung boleh mendapatkan pakej pada harga istimewa daripada Suka-Suka Lake Retreat yang menyediakan penginapan di rumah tradisional Perak, menikmati masakan kampung serta suasana desa yang mengasyikkan.

Selain itu, Rumah Ayah An Rusa dan Kelulut menawarkan pakej menunggang basikal elektrik menelusuri kampung-kampung dan gua di sekitar Lenggong Geopark dengan diskaun istimewa.

Turut ditawarkan ialah pakej 'Sehari di Lembah Lenggong' dengan pengunjung dapat menyelusuri kembara Tapak Warisan Dunia ini dan menyaksikan keindahan stalaktit dan stalagmite, serta nikmati makanan kampung dan menghirup udara segar desa.

Para pengunjung juga boleh merasai nostalgia petani D'Bendang Chalet dalam keselesaan kemudahan serba lengkap sambil disapa lambaian sawah yang terbentang luas pada harga istimewa.

Sementara itu Yahanis berkata PAC 2024 disasar melonjakkan industri agropelancongan yang semakin popular dalam kalangan pelancong yang menghargai kehijauan dan mahu menikmati percutian secara bertanggungjawab selari agenda Perak Sejahtera 2030 dalam Flagship Lembah Bakul Makanan (Sekuriti Makanan) di bawah program Hab Agropelancongan.

Karnival yang didukung oleh Kerajaan Perak ini turut mendapat kerjasama Tourism Perak, Majlis Daerah Lenggong, Majlis Pelancongan Lenggong dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak. - BERNAMA