KEPALA BATAS:Polis telah menahan dua adik beradik lelaki dan seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam kes melarikan kereta peronda polis (MPV) model Honda Civic 1.8s milik pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, malam tadi.

Menurut sumber , lelaki dan wanita itu ditahan di Shah Alam manakala seorang lagi lelaki ditahan di Tasek Gelugor Pulau Pinang bagi membantu siasatan.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 9. 15 malam Sabtu, kedua-dua suspek lelaki berusia 28 dan 32 tahun telah datang ke bahagian MPV mendakwa anggota polis dari bahagian Sumber Teknologi Maklumat yang mahu membuat pemeriksaan ke atas kamera (dashcam) yang terdapat dalam MPV tersebut.

"Semasa kejadian terdapat anggota polis yang bertugas sebagai penyelia MPV di situ dan suspek iaitu abang telah mengambil kunci kenderaan di rak kunci sebelum meninggalkan sebuah komputer riba di situ," katanya.

Kejadian berlaku sangat pantas dan suspek terus memecut kereta MPV tersebut keluar daripada perkarangan IPD SPU.

Sumber berkata, penyelia tersebut hanya menyedari kenderaan MPV itu dilarikan selepas setengah jam suspek tidak kembali semula ke IPD SPU malah polis juga gagal menghubungi kenderaan tersebut menerusi walkie talkie sebelum mula cuba mengesan MPV tersebut.

MPV itu berjaya dikesan di Shah Alam sebelum polis menahan suspek dan seorang wanita berusia 20-an dipercayai teman wanitanya yang berada dalam kenderaan tersebut.

"Siasatan mendapati suspek utama itu mengambil teman wanitanya di Tasek Gelugor dan pasangan kekasih berkenaan juga cuba menyamun sebuah kedai runcit di situ sebelum memandu ke Shah Alam.

"Difahamkan suspek bertindak mencuri kenderaan tersebut kerana mahu menunjuk kepada teman wanitanya," katanya.

Sementara itu, siasatan polis juga mendapati suspek utama itu pernah ditahan pada 15 Oktober lalu kerana mencuri kabel elektrik malah dia dan adiknya mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Beliau berkata, adik beradik itu penagih dadah tegar dan siasatan awal turut mendapati yang suspek utama yang melarikan MPV berkenaan mempunyai masalah mental.

Polis menjalankan siasatan kes itu menurut 379A dan 170 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada Sabtu, seorang lelaki dan wanita telah melarikan sebuah kereta peronda polis (MPV) model Honda Civic 1.8s milik pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Bagaimanapun kedua-duanya berjaya ditahan di Shah Alam, Selangor kira-kira jam 2 pagi Ahad.

Suspek menyamar sebagai polis dan memasuki IPD berkenaan dengan motosikal sebelum melarikan kereta tersebut.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.