PETALING JAYA: Pangkalan Data Utama (PADU) masih mempunyai data asas lebih 30 juta rakyat Malaysia yang didaftarkan secara automatik ke dalam sistem tersebut.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, data itu hanyalah data asas yang dikumpul daripada pelbagai agensi sedangkan yang diperlukan sekarang adalah data dinamik.

Menurutnya, beliau bimbang keciciran bantuan berlaku kepada mereka yang hanya mempunyai data asas namun pada masa sama memaklumkan, jumlah tersebut mungkin agak kecil.

Tambahnya, rakyat juga mungkin akan diberi peluang untuk kemas kini maklumat dalam sistem tersebut sekiranya ada kesilapan kecil ketika pendaftaran kali pertama.

"Menteri juga dah jelaskan bahawa kita perlukan satu tarikh untuk kita proses analisis, untuk kita merangka dan mencadangkan apakah program-program yang perlu dilaksanakan dan akan dipertimbangkan kerajaan berdasarkan profil yang dikemas kini.

“Jadi bagi mereka yang tidak mengemas kini, atau mungkin ada kesilapan yang dibuat yang tidak begitu teruk, mungkin akan diberi peluang pada masa akan datang yang akan ditetapkan tadbir urusnya.

“Frekuensi kemas kini secara berkala itu memang salah satu ciri kepada data, ia tidak berbentuk sekali sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Pendaftaran Padu Bersama Ketua Perangkawan Malaysia (DOSM) di Petaling Jaya pada Ahad.

Katanya lagi, proses kemas kini PADU akan berterusan meskipun tempoh pendaftaran ditutup bermula tengah malam ini.

Tambah Mohd Uzir, profil setiap rakyat sudah tersedia dalam PADU, namun kerajaan memerlukan maklumat baharu terutama maklumat berkaitan status pekerjaan, pendapatan, jumlah tanggungan serta alamat kediaman.