KUANTAN: Kerajaan Pahang komited dalam melaksanakan usaha pemulihan Tasik Chini di Pekan dekat sini, secara berterusan, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau juga melahirkan rasa syukur dan berbesar hati kerana Tasik Chini berjaya mengekalkan status Rizab Manusia dan Biosfera (MAB) di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Kalau dilihat gambar dahulu (Tasik Chini) dengan gambar terkini, keadaan amat berbeza...dahulu 80 peratus (kita) nampak tanah tetapi sekarang 80 peratus sudah hijau. Memulihkan Tasik Chini bukan perkara mudah dan saya ucapkan tahniah kepada semua pihak terlibat.

"Saya berharap usaha kita memelihara khazanah alam semula jadi di Pahang akan terus dipergiatkan supaya habitat flora dan fauna berharga dapat dijaga serta dilindungi," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Ulu Cheka di Jerantut dekat sini dan Majlis Meraikan Pengekalan status MAB UNESCO Tasik Chini di sini pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Abdul Wahid Abu Salim dan Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Zulkifli Yaacob serta barisan pentadbiran negeri.

Pada perkembangan lain, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri berhasrat menjadikan Mossy Forest di Cameron Highlands yang terkenal dengan keunikan tumbuhan lumut, sebagai tapak rizab biosfera kedua di Pahang.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pengekalan status Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini sangat signifikan kepada negara kerana ia memanifestasikan usaha kolektif kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta pelbagai pihak berkepentingan termasuk penyelidik serta masyarakat setempat.

"NRECC mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pahang dan berharap usaha terus dipergiatkan dalam menambah baik serta mengukuhkan pengurusan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tasik Chini merupakan tapak rizab biosfera pertama di negara ini yang mendapat pengiktirafan pada 2009 dan kejayaan mengekalkan status berkenaan dibuat semasa Mesyuarat Sesi ke- 35 Majlis Penyelaras Antarabangsa bagi Program Manusia dan Biosfera (ICC MAB35) pada 13 Jun lepas di Paris setelah menepati kriteria Kerangka Statutori Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR).

Selain Tasik Chini, Malaysia mempunyai dua lagi tapak rizab biosfera iaitu Banjaran Crocker di Sabah yang mendapat pengiktirafan pada 2014 dan Bukit Bendera, Pulau Pinang yang diiktiraf pada 2021.

Setiap tapak rizab biosfera perlu mengemukakan laporan kajian semula berkala selepas 10 tahun pengiktirafan untuk penilaian semula oleh Sekretariat UNESCO.

NRECC, menurut Nik Nazmi sentiasa komited dalam menyokong usaha kerajaan negeri dalam memulihara tapak rizab biosfera sedia ada dan mencalonkan kawasan yang berpotensi sebagai tapak rizab biosfera baharu pada masa hadapan.

-- BERNAMA