JOHOR BAHRU: Letupan dan kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), Kota Tinggi, pada hari ini, melibatkan penyambungan saluran paip bagi projek N-OSBL di dalam kawasan Rapid Pengerang itu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Rengit, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPGB) Masri  Ibrahim, berkata kejadian jam 3.40 petang itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Katanya, pemadaman awal telah dilakukan oleh pihak bomba dan operasi terkawal pada jam 4.23 petang.

"Seramai tujuh anggota dari BBP Sungat rengit telah dikerahkan ke lokasi sejurus mendapat maklumat mengenai kejadian itu.

"Operasi pemadaman turut diperkasakan dengan penglibatan tujuh anggota Pasukan Keluaran Operasi dari BBP Sebana Cove serta tiga buah jentera bomba yang digerakkan bersama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Komander Insiden dari Petronas Refinery and Petrochemical Corporation (PRPC) Sendirian Berhad dalam kenyataan berkata, kebakaran dan letupan itu berlaku di salah satu paip penyambung yang terletak di Kompleks Bersepadu Pengerang.

Katanya, Pasukan Tindakan Kecemasan (PRPC) telah digerakkan lebih awal bagi membendung kemarakan api.

Tambahnya, semua pihak berkuasa dan agensi berkaitan telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, dan kejadian itu tidak membawa ancaman segera kepada masyarakat sekitar.

"Kebakaran telah dipadamkan sepenuhnya pada 4.50 petang," katanya.

Kompleks Bersepadu Pengerang itu pernah mengalami insiden letupan yang mengorbankan lima nyawa, pada dua tahun lalu.