Kira-kira 200,000 pengguna dijangka mengalami gangguan bekalan berikutan kejadian paip pecah di Loji Rawatan Air Sungai Dua, loji rawatan air terbesar di Pulau Pinang, petang Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa yang mengesahkan kejadian itu malam ini berkata kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan untuk memulihkan 1100mm bekalan air paip yang terjejas.

"Kami mengalami kecemasan dan sedang melakukan pembaikan paip sekarang," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Kenyataan yang dimuatkan dalam Facebook sebelum ini menyatakan insiden itu menyebabkan pengeluaran air di loji menurun sebanyak 230 juta liter sehari (MLD).

Pengguna air berdaftar di Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di tanah besar serta kawasan selatan Pulau Pinang berpotensi terjejas akibat gangguan bekalan tidak berjadual, kata kenyataan itu.

-- BERNAMA