KANGAR: Pameran Setem Lima Negara Perlis Malaysia 2026 memperlihatkan bagaimana filateli mampu mengeratkan hubungan rakyat antara negara menerusi perkongsian sejarah, budaya dan warisan, titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Baginda bertitah setem membawa kisah tentang sejarah, budaya, warisan dan masyarakat sesebuah negara, selain berperanan sebagai “duta kecil”, yang menghubungkan masyarakat dan budaya merentasi sempadan.
“Melalui setem dan pameran, kita dapat mengenali sejarah dan budaya negara lain, bertukar pengetahuan, mengeratkan persahabatan sedia ada dan menjalin persahabatan baharu,” titah baginda ketika merasmikan pameran itu di Dewan 2020, di sini malam tadi.
Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah pameran itu amat bermakna kerana 2026 menandakan ulang tahun ke-100 Fédération Internationale de Philatélie (FIP), yang memperingati 100 tahun penubuhannya pada 1926.
Baginda bertitah sambutan ulang tahun itu di Perlis amat bertepatan kerana dapat menghimpunkan peminat filateli dari seluruh rantau ini dalam semangat persahabatan dan kerjasama.
Raja Perlis berkenan mengalu-alukan penyertaan peserta dari Thailand, Singapura, Indonesia dan Vietnam, selain Bangladesh yang turut diundang, dan menzahirkan penghargaan terhadap mutu serta kepelbagaian bahan pameran yang dipersembahkan.
“Tahniah kepada semua peserta pameran, khususnya penerima pingat dan anugerah. Penyertaan peserta muda memperlihatkan bahawa tradisi filateli akan terus berkembang dalam kalangan generasi akan datang,” titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin turut menzahirkan rasa sukacita kerana Perlis menjadi lokasi pertemuan komuniti filateli dari rantau ini, dan berharap persahabatan yang terjalin akan berterusan serta membawa lebih banyak pertukaran dan kerjasama pada masa akan datang.
Raja Perlis turut menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Filateli Malaysia, Kerajaan Negeri Perlis, Kementerian Komunikasi, Kementerian Pendidikan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pos Malaysia serta semua organisasi, agensi dan rakan kerjasama yang terlibat atas sokongan mereka.
“Pameran itu bukan sahaja wajar dikenang kerana koleksi yang mengagumkan, malah persahabatan dan persefahaman yang berjaya dipupuk dalam kalangan negara yang mengambil bahagian,” titah baginda.
-- BERNAMA