KUALA LUMPUR: Pandangan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dalam pelbagai isu melibatkan parti perlu difikirkan demi menyelamatkan UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Damansara, Datuk Ikhwan Salim Sujak menjelaskan, parti juga tidak boleh bersikap stereotaip dan bersetuju dengan apa sahaja yang diucap pemimpin.

"Pada saya UMNO mesti berubah dan sekarang macam-macam pandangan kita dengar tapi bila ada pandangan, dia dikira anti presiden. Tetapi sebenarnya bukan, ia cadangan akar umbi, kita bincang tidak habis-habis untuk berkahwin tetapi kalau kita kuat dan baik, orang hendak kahwin dengan kita, kita tak perlu cari orang hendak berkahwin

"Jadi, pada saya, pandangan bernas (Annuar) mengubah UMNO baik untuk kita fikirkan, jangan kita stereotaip dengan apa sahaja dan setuju.

"Kita kena ubah mengikut zaman, sekarang ini bila digital world, kita berucap bukan diorang hendak dengar, diorang hendak bertanya, sudah siap soalan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA: UMNO perlu ambil serius pandangan Annuar - Ketua UMNO Jelebu

BACA: 
Saya mula hidu sesuatu yang tidak kena sejak Ogos tahun lepas - Annuar Musa

Sebelum ini, Annuar mendedahkan sekurang-kurangnya empat 'keanehan' yang berlaku semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) bulan lalu.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu juga mendakwa wujud pihak yang sudah mengaturkan usul-usul untuk dibawa ke PAU2020.

Katanya, pada kebiasaannya usul dibawa secara bebas oleh bahagian-bahagian yang bersidang, tetapi dakwanya ada pihak yang mengatur usul-usul yang dibawa di mesyuarat peringkat bahagian.

BACA: Annuar Musa dakwa rakaman audio mirip suara Anwar Ibrahim, Zahid Hamidi tulen

BACA: Annuar garis empat 'keanehan' ketika PAU 2020

Dalam pada itu jelas Ikhwan, UMNO hari ini dilihat masih dalam cara lama dari segi hierarki dan tidak memikirkan untuk menentukan muka baharu menjadi pemimpin.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias menjelaskan, parti perlu mengambil serius pandangan Annuar dalam isu penjajaran politik parti di negara ini.

Tegasnya, sebarang kenyataan Annuar itu tidak boleh ditolak bulat-bulat kerana kepentingan pihak tertentu di dalam parti.

Annuar sebelum ini mendedahkan bagaimana tugas yang diarahkan kepada beliau untuk menjadi jambatan antara UMNO dan Bersatu terkandas apabila ada kepincangan atau ‘breakdown’ dalam usaha mempertemukan pucuk pimpinan dua parti itu.

Tegasnya, arahan daripada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah supaya beliau berhubung dengan Bersatu, namun akhirnya, beliau yang dituduh menjadi duri dalam daging parti.