KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menggariskan sekurang-kurangnya empat 'keanehan' yang berlaku semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) bulan lalu.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu juga mendakwa wujud pihak yang sudah mengaturkan usul-usul untuk dibawa ke PAU2020.

Katanya, pada kebiasaannya usul dibawa secara bebas oleh bahagian-bahagian yang bersidang, tetapi dakwanya ada pihak yang mengatur usul-usul yang dibawa di mesyuarat peringkat bahagian.

"Kita dengar aduan-aduan yang datang daripada akar umbi di peringkat cawangan yang menyatakan mereka tidak begitu mengetahui secara mendalam (mengenai mesyuarat) kerana usul-usul didatangkan dari atas ke bawah, ertinya ada semacam gerakan untuk menggesa beberapa bahagian tertentu untuk meluluskan usul-usul tertentu. Ini jarang berlaku!" jelas bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu menerusi siaran penstriman Facebook.

"Selain daripada keanehan usul-usul yang tiba-tiba macam diatur untuk dibawa di peringkat bahagian seperti ada satu lagi keanehan dalam PAU kali ini di mana jurucakap yang lazimnya dilantik oleh negeri-negeri juga bertukar-tukar beberapa kali juga atas arahan daripada atas.

"Banyak  negeri yang maklum kepada saya, mereka sudah memilih jurucakap dan sebahagian daripada jurucakap sudah dipanggil oleh pengerusi jawatankuasa penapis usul dan diberikan taklimat dan kemudian nama-nama itu diminta ditukarkan.

"Beberapa hari sebelum Perhimpunan Agung, di mana beberapa keputusan dibuat hanya pengerusi badan perhubungan sahaja yang dibenarkan berucap mewakili negeri-negeri".

Selain itu Menteri Wilayah Persekutuan itu juga mempertikai keputusan supaya usul Majlis Kerja Tertinggi (MKT) hanya dibahas di peringkat MKT sahaja, walhal pada lazimnya usul MKT dibahas oleh pihak perwakilan di PAU.

Beliau juga membidas ketetapan di mana ucapan presiden hanya dibahas oleh individu yang dilantik presiden menyebabkan baginya, ada keterbatasan untuk berbahas.