Pandu secara gopoh dan halangan salah di Subang Jaya, lelaki serah diri

Polis mengesahkan telah membuka siasatan berhubung satu video tular memaparkan kejadian memandu secara gopoh dan halangan salah di kawasan Subang Jaya, Selangor, yang dirakam menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam).
SUBANG JAYA: Polis mengesahkan telah membuka siasatan berhubung satu video tular memaparkan kejadian memandu secara gopoh dan halangan salah di kawasan Subang Jaya, Selangor, yang dirakam menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam).
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan pada 11 Januari lalu, membabitkan perselisihan faham jalanan antara dua individu.
Menurut beliau, kejadian itu sebenarnya berlaku pada 27 Disember 2025, apabila seorang lelaki didapati memandu secara berbahaya dengan mengekori kenderaan pengadu, memberhentikan kenderaan secara mengejut serta menghalang laluan, yang berpotensi membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
“Siasatan awal mendapati kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada salah faham semasa memandu,” katanya dalam satu kenyataan media.
Susulan penularan video berkenaan di media sosial, seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun telah hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.
Rakaman percakapan suspek telah diambil bagi membantu siasatan dan suspek seterusnya diberi jaminan polis sementara siasatan diteruskan.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh serta Seksyen 341 Kanun Keseksaan melibatkan kesalahan halangan salah.
Selain itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Subang Jaya turut membuka kertas siasatan di bawah Rule 16 LN 166/59 berkaitan kesalahan halangan lalu lintas.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi IPD Subang Jaya di talian 03-7862 7100 atau pegawai penyiasat SJN Rozaimi Ramli (012-394 5718).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


