Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Panel rundingan Bangsamoro hargai PM Anwar, peranan Malaysia dalam proses damai

Mohagher Iqbal
Saya berani menyatakan bahawa tanpa Malaysia sebagai perantara yang jujur, saya tidak fikir kami mampu capai sejauh ini, ujar Mohagher.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan Malaysia terhadap proses damai Bangsamoro.

Pengerusi Panel Pelaksana Damai MILF, Mohagher Iqbal berkata, peranan Malaysia sebagai fasilitator sejak 2001 penting dalam membawa proses damai antara Kerajaan Filipina (GPH) dan MILF ke tahap ketika ini.

Sebelum itu, Mohagher turut menyampaikan ucapan takziah kepada Anwar atas pemergian abang sulung Perdana Menteri.

“Pertama sekali, saya ingin menyampaikan ucapan takziah daripada MILF dan secara peribadi atas pemergian kekanda beliau.

“Di bawah kepimpinan kerajaan Malaysia, khususnya kerajaan ketika ini yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Rakyat kami (Bangsamoro) akan menghargai sumbangan Malaysia kepada proses damai. Saya berani menyatakan bahawa tanpa Malaysia sebagai perantara yang jujur, saya tidak fikir kami mampu capai sejauh ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Panel Pelaksana Damai GPH-MILF di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohagher turut berharap Malaysia terus memainkan peranan sebagai fasilitator sehingga termeterainya Perjanjian Penamatan (Exit Agreement).

Katanya, kedua-dua pihak mempunyai tahap kepercayaan tinggi terhadap sikap berkecuali Malaysia dalam mengendalikan proses berkenaan. 

Mohagher turut mendoakan agar rakyat dan Kerajaan Malaysia mendapat ganjaran atas sokongan berterusan terhadap proses damai serta masyarakat Bangsamoro.

“Kami tidak mampu membalas jasa Malaysia. Apa yang boleh kami lakukan adalah berdoa kepada Allah agar memberi ganjaran kepada rakyat dan kerajaan anda atas segala bantuan yang diberikan kepada rakyat kami,” katanya.

Mengulas suasana mesyuarat hari ini, Iqbal berkata kedua-dua delegasi pada awalnya agak berhati-hati selepas sekian lama tidak bertemu di Kuala Lumpur.

Namun, suasana berubah menjadi lebih mesra selepas beberapa persetujuan berjaya dicapai.

“Pada awalnya ia agak berhati-hati, tetapi selepas kami berjaya mencapai persetujuan dalam beberapa perkara, suasana menjadi lebih mesra. Semua orang ketawa,” katanya lagi.

Mesyuarat sehari itu memberi tumpuan kepada baki komitmen di bawah Comprehensive Agreement on the Bangsamoro (CAB).

Mesyuarat itu antara lain menyaksikan GPH dan MILF mencapai persetujuan prinsip mengenai cadangan kerangka pengurusan senjata kecil dan ringan.

Kerangka itu turut mengambil kira pelucutan senjata kumpulan bersenjata persendirian serta proses penamatan penggunaan senjata dalam kalangan kombatan.

Kedua-dua pihak turut meluluskan terma rujukan bagi pembangunan pelan hala tuju pelaksanaan CAB dalam usaha menyelesaikan baki komitmen di bawah perjanjian damai itu. 

Malaysia bertindak sebagai fasilitator proses damai antara Kerajaan Filipina dan MILF sejak 2001, dengan penglibatan itu kini memasuki tahun ke-25.

Must Watch Video

Advertisement