PUTRAJAYA: Hujan lebat yang melanda Lembah Klang pada petang semalam menyebabkan jumlah hujan terkumpul mencecah 155.5 milimeter (mm), lebih lima kali ganda berbanding kebiasaannya kira-kira 30 mm.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata cerapan yang dilaksanakan pada petang semalam mendapati hujan lebat sehingga sangat lebat melanda sekitar Lembah Klang, terutamanya di kawasan hulu tadahan di Ampang, Empangan Klang Gates dan Lembah Keramat, Selangor.
“Rekod bacaan hingga 5.30 petang, jumlah hujan terkumpul yang tertinggi, iaitu di Lembah Keramat ialah 155.5 mm, keadaan hujan biasa ialah 30 mm,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Media melaporkan hujan lebat yang melanda ibu negara itu menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air antaranya Ampang, Taman U-Thant dan Jalan Ampang, sekali gus menjejaskan pergerakan pengguna jalan raya.
Situasi itu turut menjejaskan beberapa laluan utama apabila air bertakung di atas jalan raya sehingga memaksa pengguna memperlahankan kenderaan.
Sementara itu, berhubung isu penempatan pekerja asing di kediaman Projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan di Residensi Max di Jalan Kolam Air, beliau berkata Pesuruhjaya Bangunan (COB) telah memberikan amaran kepada pemaju kediaman projek berkenaan supaya tidak menjadikan bilik utiliti sebagai penempatan pekerja asing.
“Residensi Max ini masih di bawah pengawasan pemaju. Jadi, COB mengeluarkan surat amaran kepada pihak pemaju supaya tidak lagi meletakkan pekerja di dalam kawasan atau bilik yang ditetapkan untuk kegunaan lain dan kita akan memantau perkara itu,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan penduduk Residensi Max bimbang dengan kehadiran warga asing di kediaman berkenaan yang didakwa berlaku sejak hampir setahun lepas.
Pengerusi Persatuan Penduduk Residensi Max Muhammed Assyafiq Ahmad Kamal dilaporkan kecewa dengan pihak pengurusan yang didakwa enggan memberikan kerjasama kepada penduduk bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Selain menjadikan bilik utiliti sebagai tempat tinggal, penduduk turut mendakwa sebuah lagi bilik utiliti dijadikan bengkel haram dan dipenuhi dengan tayar motosikal.
-- BERNAMA