KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menafikan hak kanak-kanak terbuang atau yang terpinggir untuk mendapat kewarganegaraan.

Beliau berkata, kedudukan itu penting dalam memberikan perlindungan yang sewajarnya kepada kanak-kanak berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut meminta supaya istilah 'dinafikan' hak untuk mendapat kewarganegaraan dihentikan.

"Sehingga kita membentangkan ( Rang Undang-Undang (RUU) Polis (Pindaan) 2023 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024), kita akan meminta semua ahli Parlimen untuk mengambil bahagian dalam perbahasaan supaya kita sama-sama mengambil tanggungjawab bahawa hak kanak-kanak itu mesti dijamin dan dijaga.

"Sekarang kalau tak dapat (kewarganegaraan) cara Seksyen 19B (Bahagian III Jadual Kedua) (Perlembagaan), kita proses di bawah 15A, dia tetap dapat warga negara, tiada istilah 'dinafikan'.

"Janji dimohon dan permohonannya lengkap. Hakikatnya adalah kalau tak diluluskan di bawah kuat kuasa undang-undang, ia tetap diproses dan dibuat keputusan permohonannya di bawah perkara 15A," katanya di Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada soalan tambahan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) berhubung mekanisme bagi membolehkan bayi atau kanak-kanak terbiar diberikan kerakyatan automatik.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution memberitahu, beliau juga sedang mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak yang terlibat untuk mendapat formula terbaik berhubung isu itu.

Menurutnya, beliau akan memaklumkan kepada Ketua Whip masing sebelum RUU itu dibentangkan.