KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Dewan Negara menegaskan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah hak rakyat dan tempat di mana hak dan suara mereka didengar secara jelas, terarah dan konstruktif.

Justeru, Sekretariat Senator Pakatan Harapan Plus berpandangan, Parlimen perlu segera kembali berfungsi sebagai platform semak imbang tata kelola serta perjalanan pentadbiran kerajaan.

Dalam kenyataan bersama yang ditandatangani 19 ahli Dewan Negara itu, mereka berpendapat, Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara boleh dibahaskan di persidangan Parlimen dalam membincangkan lumat akan segala peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat secara adil dan menyeluruh.

"Kami konsisten menekankan bahawa sebarang keputusan berkaitan menangani krisis politik, kesihatan dan ekonomi negara sewajarnya dilakukan di Parlimen sebagai institusi tertinggi demokrasi yang mewakili suara semua rakyat," kata kesemua 19 Senator itu pada Isnin.

BACA: Parlimen perlu bersidang secepat mungkin - Agong

Mengulas lanjut, kesemua ahli Dewan Negara itu berkata, adalah jelas titah Yang di-Pertuan Agong yang menggesa agar Parlimen segera bersidang.

Tambah mereka, kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu yang senada menyeru agar sidang Parlimen dan DUN dipanggil segera adalah isyarat jelas akan kepentingan negara ini untuk terus memelihara prinsip Demokrasi Berparlimen dan Keluhuran Perlembagaan.

BACA: Buka Parlimen: Tiada niat untuk melengahkan pembukaan sidang - PM

Selain itu, mereka turut menyokong kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim yang berpendapat Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai kuasa autoriti semasa darurat untuk memanggil Ahli Parlimen kembali bersidang.

"Kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara itu adalah berdasarkan kepada Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, pada Seksyen 14 (1)(b) yang telah memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil, memprorog (melanjutkan) dan membubarkan Parlimen.

"Seiring pandangan Tuan Yang Dipertua Dewan Negara, kami juga berpendapat bahawa kuasa tersebut telah diturunkan terus kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan ia adalah penyerahan kuasa yang lengkap bersesuaian dengan tempoh Darurat yang masih berlangsung.

"Kami menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu atas kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan berhubung keperluan negara untuk segera keluar daripada kegagalan mengawal dan mengurus bukan sahaja masalah pandemik COVID-19, tetapi juga masalah ekonomi negara dan perpaduan sosial rakyat keseluruhan," kata kenyataan itu lagi.