PAS kini mengibaratkan diri mereka sebagai pembangkang tidak rasmi di Pulau Pinang selepas kerajaan negeri itu memecat 300 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang diangggotai ahli parti itu.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, beliau sudah menjangkakan tindakan tersebut selepas melihat hubungan yang semakin tegang di antara PAS dan DAP.

“Buat masa ini kami tidak ada pilihan selain bertindak menjadi pembangkang dalam kerajaan DAP.

“UMNO pun kami lawan dan kami juga pembangkang yang matang dan berprinsip. Itu beza antara kami dengan pembangkang yang lain. Kami pembangkang kepada bekas rakan kami,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah dilaporkan berkata, ahli PAS di Kepala Batas tidak meletak jawatan seperti yang didakwa, sebaliknya mereka dipecat selain daripada di Seberang Prai Tengah, Utara dan Selatan.

Kata Guan Eng, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak memerlukan perkhidmatan ahli PAS yang tidak menyokong Pakatan Harapan dan surat penamatan perkhidmatan mereka telah diserahkan kepada penyokong tegar yang enggan menyokong pakatan itu, 15 Oktober lalu.

Menurut Takiyuddin, PAS telah mengarahkan semua ahli-ahli parti yang menjadi JKKK supaya tidak meletak jawatan selagi mereka tidak dikenakan sebarang tindakan daripada kerajaan negeri.

Malah, Takiyuddin menyifatkan tindakan Guan Eng itu melucukan kerana DAP sendiri tidak mempunyai ahli yang cukup untuk mengisi jawatan JKKK di mana mereka meminta PAS memenuhi jawatan itu.

“Bukan 300 orang tetapi lebih kurang 1,083 ahli PAS yang menjadi JKKK. Kalau dipecat 300 ada lagi 600 lebih. Ahli-ahli PAS diminta mengisi tempat-tempat kosong yang mana parti PKR dan DAP tidak ada orang,” katanya.