Pas Perak tidak akan berganjak daripada prinsip mahu melaksanakan hukum hudud sekiranya berjaya memerintah negeri Perak pada masa akan datang.

Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria menegaskan parti itu bukan sahaja mahu melaksanakan hudud malah semua tuntutan seperti termaktub di dalam Al-Quran.

"Ini adalah dasar asas perjuangan kita, kita tak boleh tinggalkan.

"Dari sejak penubuhan pas, itulah matlamatnya," kata beliau semasa ditemui di pejabat parti itu di sini, pagi tadi.

Razman menjawab desakan Pemuda Amanah Perak yang mahu Pas negeri itu menyatakan pendirian dengan jelas dan terbuka mengenai hukum hudud.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Mohd Fitri Asmuni menegaskan Pas Perak perlu menyatakan pendirian bagi memastikan isu ini tidak dijadikan 'gula-gula' politik selepas parti itu membentuk pakatan dengan parti Ikatan di peringkat nasional.

Jelas Razman, kewujudan blok ketiga tersebut juga bukan satu halangan kerana Ikatan telah pun mempersetujui agenda yang diperjuangkan oleh parti Islam itu.