KOTA BHARU: Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengulangi pendirian bahawa parti itu memuji sikap berani Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri Azam Baki, yang tampil mempertahankan diri dalam satu sidang media baru-baru ini.

Bagaimanapun tegas beliau, kenyataannya itu bukan bermaksud menyatakan Azam tidak bersalah atau Pas berpendirian mempertahankannya.

"Maksud saya, selaku SU (Setiausaha ) Agung Pas, kita bukan kata dia bersalah atau tidak bersalah... itu benda penting.

"Yang penting kita berpuas hati dia ini berani untuk tampil ke hadapan menjelaskan keadaan yang ditohmahkan kepada dia... itu saja, bukan kita kata dia ini tak bersalah... kita tak pernah kata dia bersalah... selagi tak dibuktikan bersalah," katanya.


Integriti | Tiada keperluan rehatkan Azam Baki - PM

BACA: Azam Baki patut 'cuti' seketika demi menjaga nama SPRM - IDEAS

BACA: "Itu pandangan peribadi Abu Zahar, kami kemuka cadangan lain" - 6 Ahli LPPR

Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata demikian sebagai mengulangi kenyataannya sebelum ini  bahawa Pas menyambut baik langkah Azam secara terbuka memberi penjelasan berhubung dakwaan pemilikan saham besar dalam beberapa syarikat.

Takiyuddin berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Azam melalui sidang media itu akan diperhalusi oleh pihak berkaitan dan pihak berkuasa.

Prinsip Pas katanya, jelas setiap individu tidak boleh dikatakan bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah melalui proses perundangan.

"Sikap berani tampil itu yang dipuji umpama pepatah Melayu, berani kerana benar," katanya.