PAS Selangor dijangka akan turut mencadangkan nama wakil parti itu bagi mengisi jawatan Pegawai Perhubungan Politik kerajaan Negeri Selangor.

Harakhadaily melaporkan, pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata keputusan mencadangkan wakil parti itu untuk jawatan tersebut dibuat ketika mesyuarat badan perhubungan PAS negeri.

Katanya, PAS Selangor berpendapat terdapat keperluan untuk wakil dari setiap parti menduduki jawatan tersebut memandangkan kejayaan Pakatan Rakyat mengekalkan pentadbiran di negeri itu pada pilihan raya umum yang lalu hasil kerjasama PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Jadi, PAS akan mencadangkan agar jawatan itu turut diberikan kepada wakil PAS dan juga DAP, sepertimana diberikan kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail," katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mencadangkan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok untuk jawatan tersebut dengan status dan syarat lantikan yang serupa dengan Saifuddin.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberitahu, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat CEC, kelmarin.

Katanya, cadangan lantikan Teresa itu adalah bertujuan untuk memastikan keseimbangan dan bahawa DAP adalah rakan kongsi sekata dalam Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Beliau turut berpendirian PAS juga patut mempunyai seorang Pegawai Perhubungan Politik bagi negeri Selangor.