PAS hari ini mengumumkan tiga calon yang bakal bertanding dalam kerusi-kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat pengumuman ini dalam sidang media di ibu pejabat PAS di sini hari ini.

Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan diumum sebagai calon PAS di kerusi Parlimen Temerloh. Penyandang di kerusi itu merupakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Briged Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad turut diumumkan sebagai calon PAS di kerusi Parlimen Baling, Kedah.

Beliau, yang juga diumumkan menyertai PAS secara rasmi hari ini, merupakan adik kepada bekas Naib Presiden PAS Datuk Mohd Nakhaie Ahmad.

Pencalonan beliau itu bagi menggantikan penyandang Ahli Parlimen Baling Datuk Taib Azamudden Md Taib yang berundur kerana masalah kesihatan.

Turut dicalonkan Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi di kerusi Parlimen Titiwangsa.

Beliau bakal bertanding bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut selepas penyandangnya, Dr Lo' Lo' Ghazali yang meninggal dunia akibat kanser pada 2011.