Ibu bapa kepada tiga kanak-kanak yang ditinggalkan tanpa pengawasan di Larkin Perdana, Johor Bahru, seperti yang tular di media sosial minggu lalu, ditahan polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata pasangan itu ditahan pada pukul 10 malam tadi bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, bapa tersebut yang berusia 33 tahun dan isterinya, 21 tahun, dilepaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

BACA: Kerana percayakan jiran, suami isteri dakwa teraniaya


Pasangan itu juga didapati mempunyai seorang lagi anak berusia lapan bulan yang memerlukan penjagaan.

"Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Kanak-Kanak 2001. Kertas siasatan berhubung kes itu telah dibuka dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"Pihak polis mengambil semua keterangan, termasuk keterangan membela diri mereka kerana pihak polis perlu adil, dan berdasarkan kenyataan, mereka baru sahaja menetap di sini dan baru sahaja bekerja," kata Wan Ahmad Najmuddin.

Tambahnya, walaupun dilepaskan dengan jaminan, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001.

Katanya lagi, kes berkenaan juga akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan seterusnya.

Khamis lalu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyelamatkan tiga beradik itu yang dipercayai menjadi mangsa pengabaian ibu bapa mereka di sebuah bilik sewa di Larkin.

Kisah tiga beradik itu menjadi tular dalam laman sosial selepas beberapa gambar dimuat naik menunjukkan keadaan mereka hidup dalam keadaan tidak terurus di sebuah bilik.