Pasangan tunang ditahan bantu siasatan kes pecah masuk rumah pempengaruh

Tangkap layar video rakaman yang dikongsi seorang pempengaruh selepas kediamannya di Sungai Long, Kajang dipecah masuk. Gambar kecil: Naazron. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Pasangan tunang ditahan di sekitar Kajang pada Isnin bagi membantu siasatan kes pecah masuk kediaman pempengaruh di Bandar Sungai Long sehingga mengakibatkan kerugian hampir RM360,000.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pasangan berusia 21 dan 37 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor antara 10.30 pagi hingga 2.30 petang.
"Tangkapan melibatkan seorang lelaki pekerja swasta dan seorang wanita tempatan yang juga penganggur, masing-masing berusia 21 dan 37 tahun kerana disyaki terlibat dalam kejadian ini.
"Polis turut merampas dua telefon bimbit bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Naazron berkata kedua-dua suspek merupakan kenalan kepada mangsa, dan pemeriksaan mendapati masing-masing mempunyai dua rekod kesalahan lampau melibatkan kes narkotik.
Suspek lelaki direman dua hari hingga hari ini, manakala suspek wanita direman sehari untuk disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan suspek lain yang terlibat serta mengesan barang kes berkenaan," katanya.
Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian itu dimohon menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Shahrulhasram Ramli menerusi talian 017-2530380 bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian pada Ahad lepas, pelbagai barangan dilaporkan hilang, antaranya barang kemas, dua motosikal serta helmet jenama Arai dan Shoei, bernilai hampir RM360,000.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


