Tiga pasar raya terletak kira-kira lapan kilometer dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam, dekat Kluang, menjalani proses nyah cemar malam tadi.

Proses itu dilakukan bagi memastikan kesemua pasar raya berkenaan tidak berisiko bagi penduduk sekitar apabila ia mula beroperasi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Asyraf Nur Mohd Yusoff berkata proses nyah cemar di tiga pasar raya yang menjadi tumpuan utama orang awam itu perlu dilakukan malam tadi sebelum ia beroperasi pagi ini.

"Kita tumpu pasar raya sebab orang awam akan pergi setiap hari dan jadi rutin untuk mereka beli barang keperluan.

"Kita akan pastikan kawasan ini dilakukan proses nyah cemar terlebih dahulu sebelum masuk ke kawasan dikenal pasti sebagai zon merah (jangkitan COVID-19)," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Foto ihsan bomba

Beliau berkata kesemua pasar raya berkenaan juga terletak kira-kira hanya lapan kilometer daripada Bilik Gerakan PKPD serta Kampung Dato' Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato' Ibrahim Majid, yang kini dikenakan PKPD.

Asyraf berkata pada masa sama, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat juga terlibat dalam memastikan proses nyah cemar itu turut dilakukan kepada setiap petugas barisan hadapan PKPD Simpang Renggam.

"Kita akan pastikan setiap petugas yang berada dalam kawasan zon merah, sama ada masuk atau keluar dalam kawasan itu menjalani proses nyah cemar pada badan mereka.


Foto ihsan bomba

"Melalui bantuan daripada pihak bomba, kita mahu memastikan semua petugas barisan hadapan terutama petugas Kementerian Kesihatan dapat memberi fokus kepada ujian saringan dan perubatan," katanya.

Turut melalui proses nyah cemar itu ialah Balai Bomba Ayer Hitam, yang dijalankan petang semalam, memandangkan ada anggotanya yang merupakan penduduk di kawasan PKPD.



Foto ihsan bomba

Menurut Asyraf, kira-kira 25 pegawai dan anggota termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) terlibat dalam operasi nyah cemar berkenaan.

PKPD yang bermula semalam, melibatkan 3,570 penduduk tempatan terdiri daripada 650 keluarga di dua kampung berkenaan.

-- BERNAMA