Akan berlaku perubahan yang cukup ketara dari segi tingkah laku dalam kalangan rakyat Malaysia pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dedah firma konsultan Berkshire Media.

Menurut dapatan dari kaji selidik bertajuk COVID-19: Tinjauan Awam Malaysia - Menerokai ketidakpastian dalam tempoh mencabar yang melibatkan 15,340 responden yang mewakili majoriti demografi di negara ini, mereka akan lebih cenderung untuk tinggal di rumah, serta meminimakan pendedahan dari luar sebaik mungkin.

Berkshire Media berkata, keadaan itu sudah hampir pasti menimbulkan impak negatif untuk peruncit serta pengusaha pusat membeli-belah, dimana kesan pemulihan hanya dapat dilihat pada suku tahun pertama 2021.

BACA: PKP dilanjutkan sehingga 28 April

BACA: [INFOGRAFIK] Apakah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 3

Bagaimanapun, ia berkata, dari segi perbelanjaan pengguna, trend aktiviti membeli-belah dalam talian akan terus kukuh dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Walaupun ekonomi gig (penghantaran makanan, e-hailing) akan terus kukuh, sektor pembinaan serta sektor perkhidmatan secara terus ke pelanggan akan melihat penyusutan ketara - terutamanya automotif dan industri berasaskan pembuatan,” menurut laporan itu lagi.

Menurut kaji selidik itu, 60.7 peratus responden merasakan mereka perlu mengambil langkah berjaga-jaga selepas PKP berakhir, 24 peratus masih merasakan tidak selamat untuk berada di luar sana, manakala baki 15.1 peratus merasakan keadaan sudah kembali terkawal.

Sementara itu, 39.3 peratus responden merasakan mereka tidak akan lagi melakukan aktiviti normal seperti ke restoran Mamak, ke tempat awam, malah menghadiri majlis perkahwinan, 48.8 peratus pula memilih untuk keluar jika benar-benar penting, dan baki 11.8 peratus lagi merasakan kehidupan kembali seperti normal untuk mereka.

Dari segi tabiat membeli-belah pula, agak menarik untuk dilihat bahawa 36.7 peratus memilih untuk terus melakukan pembelian dalam talian, tetapi 26.8 peratus tetap cenderung untuk pergi ke pasaraya dan pasar basah.

Dalam kesimpulan kajian itu, Berkshire Media berkata, majoriti rakyat tetap optimis ekonomi Malaysia akan kembali pulih dalam tempoh enam hingga 12 bulan seterusnya, dan itu adalah semangat yang perlu didokong oleh semua pihak bagi memastikan kelangsungan negara ini. - Sumber - Berkshire Media