KLANG: Operasi pembersihan pascabanjir di tiga lokasi sekitar Klang telah mencapai 100 peratus dengan lebih 820 tan sisa banjir telah berjaya dikutip dalam tempoh sembilan hari.

Ketua Operasi Pasca Banjir SWCorp Selangor, Hazahar Hashim berkata, tiga lokasi yang terlibat adalah di Meru, Jalan Kebun dan Klang Utama dengan melibatkan penggunaan 42 buah 'Roll-On Off' (Roro) bersaiz 10 tan dan 15 jengkaut. 

Tambahnya lagi, walaupun Negeri Selangor bukan di bawah Akta 672, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, namun pihaknya dan  Majlis Pembandaran Klang (MPK)  sedia membantu memulihkan kawasan tersebut yang terjejas teruk susulan banjir pada 18 Disember lalu.

"Setakat sembilan hari ini, 820 tan sisa banjir ini melibatkan di kawasan Meru dengan purata 80 sehingga 90 tan manakala di Klang Utama adalah sekitar 200 tan dan Jalan Kebun pula lebih kurang 90 sehingga 100 tan dapat kita keluarkan.

"Sisa-sisa pukal yang ada di lapangan itu kebanyakannya adalah sisa perabot rumah seperti kerusi, meja kabinet, tilam, katil, karpet dan barangan perabot lain," katanya ketika di Majlis Penutupan Operasi Pembersihan Pasca Banjir di Taman Sentosa Klang pada Jumaat.

Turut hadir adalah Ketua Operasi Pasca Banjir AFES, Muhammad Rodzi Umar dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Persekitaran, Majlis Perbandaran Klang, Zaireezal Ahmad Zainuddin.

Ujar Hazahar, usaha tersebut sebagai hasil kerjasama strategik tiga agensi iaitu Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Alam Flora Environmental Solutions (AFES) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).