KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil bakal membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor susulan kenyataannya yang disifatkan sebagai fitnah jenayah.

Isham dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya berkata, laporan itu dibuat supaya pihak polis boleh memulakan siasatan pertuduhan jenayah ke atas Muhammad Sanusi di bawah Seksyen 499 Akta 574 Kanun Keseksaan.

“Sanusi, pertama, kamu panggillah nama apa pun. Itu tidak menjadi masalah kepada saya. Selama ini pun kamu atau kawan-kawan kamu telah panggil orang lain dengan pelbagai nama termasuklah nama binatang dan sebagainya.

“Kedua, esok (Jumaat) saya akan buat laporan polis supaya polis boleh mula siasat pertuduhan jenayah ke atas kamu di bawah Seksyen 499 Akta 574 Kanun Keseksaan iaitu fitnah jenayah (criminal defamation) yang membawa hukuman penjara dua tahun,” katanya.

Bagaimanapun menurut Isham, sekiranya Muhammad Sanusi didapati terlepas daripada tuduhan jenayah tersebut, beliau akan memulakan saman sivil terhadapnya pula.

BACA: PasLeak: Dokumen yang ditulis orang bodoh ... - Sanusi

Laporan polis itu dibuat susulan tindakan Muhammad Sanusi yang dikatakan enggan memohon maaf selepas diberi tempoh 48 jam oleh Isham kerana mengaitkannya dengan dokumen PasLeak.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat sebaliknya menggelar Isham sebagai ‘anak seluang’.