68 hari sejak Ops Cantas dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), ia mula menunjukkan hasil positif dengan penurunan sebanyak 12 peratus indeks jenayah kekerasan .

Bagi memantapkan lagi usaha polis memerangi kongsi gelap, Ops Cantas Khas Wanita pula dilancarkan awal bulan lalu.

Terbaru usaha itu dimantapkan lagi dengan kerjasama Unit Anjing Polis, K9.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian , D7, Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hasan berkata, buat permulaan terdapat dua pasukan dengan kekuatan 12 anggota dan 2 pegawai dari Bukit Aman.

"Ini di peringkat Bukit Aman dan kita akan perluaskan di peringkat kontingen yang lain dan selepas ini Ops Cantas Khas keseluruhan akan diaktifkan pula di kawasan sempadan,”

“Kita telah melatih anjing-anjing yang baru diperolehi di peringkat PDRM yang akan mempunyai kemahiran yang amat cekap dalam mengesan senjata api, dadah dan jenayah-jenayah am yang lain,” katanya.

Beliau ditemui semasa melakukan omnipresent di Hospital Ampang bersama pasukan Op Cantas Khas Wanita bersama Unit Anjing (K9) di sini hari ini.

Pasukan itu turut dibantu pasukan Ops Cantas Lelaki.

Buat permulaan ia diperkenalkan di sekitar Lembah Klang sebelum diperluaskan ke kawasan kontinjen negeri.

Sementara itu penduduk sekitar yang ditemui menganggap, pendekatan tersebut sesuai dengan kehendak masyarakat.

"Jadi dengan adanya Ops Cantas Kas Wanita ini bersama sentuhan keibuan dengan pelajar dan ibu bapa jadi saya rasa polis lebih mudah untuk mendapat input-input dalam mencegah sesuatu jenayah" kata Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Pandan Mewah, Abd Haffidz Md Noor.

Ops Cantas Khas Wanita diwujudkan bagi membanteras pengaruh kongsi gelap dengan mendekati golongan pelajar dan suri rumah.