KUALA LUMPUR: Meskipun kini berada di sebalik tirai besi, nama Datuk Seri Najib Razak dan laungan “Bossku” tetap bergema di Dewan Merdeka.

Laungan itu semakin kuat kedengaran selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memetik nama bekas Perdana Menteri itu dalam ucapan dasarnya ketika Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU2023) pada Jumaat.

Beliau menegaskan UMNO mahukan keadilan buat Najib dan menyatakan bekas Ahli Parlimen Pekan itu mendoakan dan mengharapkan Kerajaan Perpaduan menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

“Kita berikan semangat walaupun beliau tidak ada bersama kita secara fizikal, jiwa dan roh beliau tetap bersama kita.

“Semangat beliau tetap bersama dengan kita. Kita berikan laungan bersemangat untuk beliau.

“Kita mahukan keadilan untuk Datuk Seri Najib Razak. Kita mahu keadilan diberikan kepada beliau sebagai seorang manusia,” katanya dalam ucapan tersebut.

Dalam ucapan sama, beliau turut berkongsikan rakaman video anak Najib, Datuk Mohd Nizar yang menegaskan ayahandanya sentiasa menyokong Kerajaan Perpaduan dan institusi Presiden UMNO.

“Apa yang saya ingin tegaskan di sini, ayahanda saya tidak pernah mengeluarkan arahan untuk kita serang institusi Presiden atau mana-mana komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

“Dia tidak pernah menyatakan sedemikian malah beliau tuntut supaya kita setia dengan parti UMNO dan menghormati Institusi Presiden UMNO yang kini diterajui oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden kita sekarang.

“Itu pesanan beliau,” katanya menerusi rakaman video di hadapan ribuan perwakilan UMNO yang kemudiannya mengundang sebak kepada beberapa perwakilan yang hadir.

Dalam pada itu, tambah Ahmad Zahid, walaupun Najib tidak berada di Dewan Merdeka namun, beliau percaya semangat bekas Presiden UMNO itu tetap ada di Dewan Merdeka.

“Kita di sini, beliau di sana. Saya yakin semangat beliau tetap berada di Dewan Merdeka. Saudara, kita berdoa tapi Allah minta kita berusaha.

“Kita menanggapi hasrat yang sangat besar ini, MKT (Majlis Kerja Tertinggi) ambil keputusan dengan buat resolusi, pendirian UMNO tetap tidak berubah untuk membela keadilan untuk Datuk Seri Najib.

“Kepada Datin Seri Rosmah Mansor dan keluarga, bersabar, mudah-mudahan Allah akan melunaskan segala doa kita semua bersama-sama dengan beliau dan ahli keluarga,” kata beliau lagi.