KUALA LUMPUR: Desakan permohonan maaf oleh DAP terhadap UMNO tidak sepatutnya menjadi isu yang dibangkitkan semula. 

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, perkara itu katanya telah dibincangkan beberapa kali ketika fasa rundingan dalam membentuk Kerajaan Perpaduan. 

“Perkara itu tidak perlu timbul lagi (permohonan maaf) kerana mereka (DAP) telah nyatakan perkara ini beberapa kali malah dalam rundingan kita membentuk kerajaan.

"Perkara ini menjadi syarat utama kepada kita dan mereka setuju seratus peratus jadi tidak perlu ulangi perkara yang telah mereka persetujui,” katanya ketika sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis. 


Ahmad Zahid dalam masa sama berpendapat, isu berkenaan sengaja dimainkan pihak tertentu yang tidak senang duduk melihat kestabilan politik yang terbentuk dalam Kerajaan Perpaduan. 

Beliau turut berkata, isu berkenaan juga telah menerusi fasa penjelasan terhadap peringkat akar umbi dalam memahami kerjasama yang sedang dibentuk ketika ini. 

“Kita mempunyai prinsip bahawa kerjasama ini antara BN dan PH maka asas inilah yang terbentuknya kerajaan ketika ini.

“Jangan terbuai dengan permainan pihak-pihak yang tidak senang dengan kewujudan apatah lagi kestabilan kerajaan sekarang kerana hakikatnya kebersamaan BN dan PH ini telah terbentuk dengan keserasian yang semakin bertambah.

“Mungkin di peringkat akar umbi itu kita mempunyai kaedah-kaedah tertentu untuk kita lakukan penjelasan di dalam sesi ‘townhall’ oleh Ketua Penerangan, perkara ini telah jelas malah penjelasan kronologi oleh Setiausaha Agung juga jelas maka perkara ini tidak timbul lagi,” katanya lagi. 

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Khamis menggesa DAP untuk membuat permohonan maaf secara terbuka. 

Gesaan itu katanya bagi membuktikan keikhlasan DAP dalam bekerjasama bersama UMNO selain usaha untuk melembutkan hati parti itu khususnya orang Melayu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.