NAIVASHA (Kenya): Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis melancarkan projek di Naivasha, Kenya untuk untuk melindungi tanaman makanan ruji di negara ini daripada ulat ratus Afrika (African armyworm), lapor Xinhua.

Projek berkenaan bertujuan untuk memanfaatkan keupayaan negara-negara yang terlibat kerana ulat itu boleh memusnahkan 100 peratus tanaman, jika dibiarkan tanpa kawalan, sekali gus boleh mengakibatkan kerugian besar.

Pengarah Bahagian Pengeluaran dan Perlindungan Tumbuhan FAO, Xia Jingyuan, berkata perosak itu menimbulkan ancaman serius kepada keselamatan makanan di subrantau itu.

Beliau berkata ulat itu boleh membiak sendiri sehingga 13 generasi dalam satu tahun, dengan potensi besar untuk menyebabkan wabak yang lebih serius.

"Pada 2022, wabak itu dilaporkan melanda di banyak negara di timur Afrika. Menyedari cabaran ini, FAO menggunakan kepakarannya untuk melindungi mata pencarian pekebun kecil melalui pemeriksaan," katanya.

Projek berkenaan juga bertujuan untuk memanfaatkan kapasiti negara di timur Afrika terhadap pencerobohan ulat perosak dan turut membantu enam negara di rantau ini - Eritrea, Ethiopia, Kenya, Somalia, Sudan Selatan dan Uganda.

"Menerusi penubuhan 2,400 tapak pemeriksaan, dengan 400 tapak di setiap negara, projek itu menyediakan latihan kepada lebih 1,350 orang dalam aspek pemeriksaan, amaran awal dan teknik pengurusan yang berkesan...," menurut FAO.

Setiausaha Jabatan Negeri untuk Pembangunan Tanaman di Kementerian Pertanian dan Pembangunan Penternakan Kenya, Kello Harsama, berkata Kenya telah menjalankan pemeriksaan di 1.12 juta hektar tanah, daripada jumlah itu 296,000 hektar telah terjejas oleh ulat perosak itu.

"Setakat ini, lebih daripada 173,000 hektar tanah telah dilindungi melalui kaedah penyemburan. Bagaimanapun, perlindungan yang berkesan dan berkekalan hanya dapat dicapai melalui usaha kerjasama serantau," katanya.

Projek berkenaan menekankan penggunaan Sistem Pemantauan dan Ramalan Ulat Ratus di peringkat komuniti, yang dimulakan di Tanzania pada tahun 2000, sebelum diperluas ke Ethiopia dan Kenya.

Sistem ini telah menunjukkan hasil positif dan diperluas di kampung-kampung yang berisiko tinggi di Ethiopia, Kenya dan Tanzania dari tahun 2012 hingga 2015.

-- BERNAMA