KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan patuh kepada semua keputusan dibuat dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kecuali sesuatu perkara yang sukar untuk diterima, kata Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata kerjasama dalam GRS akan terus dilaksanakan untuk memastikan semua kerusi dimenangi oleh gabungan itu pada pilihan raya akan datang.

"Walaupun kita perlu teliti kerjasama dalam GRS, namun kita perlu bekerjasama...Lebih banyak mesyuarat akan diadakan dalam GRS, adalah lebih baik untuk kita semua parti dalam gabungan dan kita tidak mahu lagi dipermainkan oleh pihak pembangkang.

"Sekiranya kita dalam GRS gagal untuk membuat sebarang keputusan bersama, kita PBS akan membuat keputusan sendiri. Namun kini kita akan terus berasas dengan kerjasama yang ada dalam GRS," selepas majlis ramah mesra dan sesi dialog bersama golongan profesional, di sini hari ini.

Ongkili berkata walaupun terdapat ahli parti yang sudah menyatakan hasrat untuk bertanding di kawasan tertentu pada pilihan raya akan datang, namun PBS mengambil pendekatan untuk berdiam diri.

"Adalah lebih baik kita kurangkan bercakap dan melakukan kerja keras untuk memenangi hati rakyat dan mengenal pasti di mana kawasan kita kuat dan boleh menang untuk GRS," katanya.

Terdahulu, dalam sesi dialog Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu turut mendedahkan ada berjumpa serta berbincang dengan pemimpin dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mewujudkan kerjasama politik.

Katanya, perbincangan berkenaan menjurus kepada mewujudkan gabungan parti-parti daripada Borneo namun belum ada sebarang keputusan dibuat mengenainya.

-- BERNAMA