PENAMPANG: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak mahu terburu-buru dalam proses menggabungkan kedua-dua parti untuk memastikan ia dilaksana secara teratur serta mencapai objektif memperkukuh perjuangan membela rakyat Negeri Di Bawah Bayu.

Presiden STAR Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata justeru itu, kedua-dua parti ketika ini melihat kepada usaha untuk mengadakan program secara bersama yang mampu membantu rakyat Sabah selepas penganjuran Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2024 di sini hari ini.

"Program hari ini julung kali berjaya dibuat (oleh kedua-dua parti), kita lihat melalui program ini ada potensi besar untuk kerjasama lain selepas ini tetapi kita 'belajar berjalan' dulu, selepas ini baru boleh buat lebih sikit.

"Kita mahu supaya rakyat dapat memberi restu dan sokongan (kepada) kerjasama ini supaya kita dapat bantu rakyat sama-sama," katanya kepada pemberita pada kedua-dua program anjuran bersama PBS dan STAR itu yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Kitingan, yang juga Timbalan Ketua Menteri I, berkata program kerjasama seperti itu penting bagi memastikan masa, wang dan tenaga PBS dan STAR tidak dibazirkan dengan pertelingkahan sebaliknya dapat disalurkan untuk membina kekuatan kedua-dua parti itu sendiri selain memperkukuh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Rakyat juga tidak bingung serta akan selesa dengan kita selain bangga apabila kita bersatu dan tidak bertelingkah sesama kita, sudah tentu sokongan kepada GRS bertambah selain perpaduan masyarakat KDMR (Kadazandusun, Murut dan Rungus) diperkukuh," katanya.

Timbalan Presiden PBS Datuk Jahid Jahim pula berkata terdapat keinginan dalam kalangan pemimpin serta ahlinya untuk melihat kedua-dua pihak berkerjasama dengan lebih rapat dan justeru itu, PBS menyambut hasrat tersebut dengan langkah yang sesuai.

"Boleh dikatakan (kerjasama kedua-dua parti) semakin hari bertambah baik, harapan kita supaya kerjasama itu lebih erat dan kesefahaman tentang inti pati perjuangan jelas selain persefahaman dapat dibentuk dengan jitu," kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah itu.

Pada 13 Dis lepas, Setiausaha Agung PBS Datuk Julita Majunki dan Setiausaha Agung STAR Edward Linggu dalam kenyataan bersama memaklumkan kedua-dua pihak dijangka menandatangani memorandum kerjasama sebelum Tahun Baharu Cina 2024.

Selain PBS dan STAR, komponen GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

-- BERNAMA