NIBONG TEBAL: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kementerian berkaitan mengambil langkah jangka pendek dan panjang bagi menangani isu banjir yang berlaku di negeri masing-masing.

Timbalan Menterinya, Datuk Mansor Othman berkata, langkah itu perlu memandangkan kejadian banjir berlaku disebabkan peralihan monsun dan perubahan iklim di beberapa negeri baru-baru ini .

Katanya, sebagai contoh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengemukakan 14 tindakan termasuk mengenal pasti lokasi ‘hotspot’ banjir dalam menangani bencana alam itu sekiranya berlaku di kawasan mereka.

Sehubungan itu, Mansor menggesa orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan perubahan iklim yang melanda termasuk di negeri-negeri utara tanah yang mengalami gelombang panas.

“Sekarang ini sebab sekarang ini terutama sekali kita negeri di sebelah utara Kedah, Perlis dan Pulau Pinang memang perubahan cuaca agak panas dalam seminggu dua ini… (justeru) saya ingin menasihatkan penduduk supaya berhati-hati hadapi perubahan iklim.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) sedang meninjau meneliti dan memantau keadaan dan keluarkan amaran dan nasihat berkala kepada rakyat kita dalam menghadapi perubahan iklim dan cuaca panas ini,” kata beliau.

Mansor berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Nibong Tebal di Dewan Serbaguna Jawi, pada Ahad .

Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Sementara itu, Mansor yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, KASA turut meminta semua kementerian dapat memberi perhatian terhadap isu pendidikan sivik dan tidak hanya berharap kepada kementerian itu semata-mata.

Mengulas lanjut, Mansor juga berharap rakyat negara ini memberi perhatian berhubung isu pembuangan sampah memandang sikap itu antara punca besar berlaku banjir kilat.