KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal memperluas penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan dron, bagi memperketat kawalan keselamatan di kawasan sempadan perairan serta daratan negara secara lebih efektif.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman CP Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata langkah ke arah penguatkuasaan berasaskan teknologi itu, diambil bagi mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada kekuatan anggota secara manual.
Beliau berkata teknologi berkenaan akan membantu meningkatkan keupayaan rondaan dan pengawasan, sekali gus membolehkan pihak polis mengekang aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan dengan lebih berkesan.
“Tanggungjawab KDNKA ialah mengawal keselamatan sepanjang kawasan sempadan negara, manakala kawalan di pintu masuk rasmi pula dikendalikan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bersama-sama agensi lain.
“Sempadan negara kita amat luas, terutamanya regangan dari Perlis hingga ke Kelantan, selain cabaran di Sabah dan Sarawak. Justeru, penggunaan teknologi ini satu keperluan,” katanya pada sidang media di Markas Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, di sini hari ini.
Mohd Yusri yang baru pulang menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Thailand-Malaysia di Bangkok, Thailand semalam berkata PDRM turut memperhebat perkongsian maklumat perisikan dengan negara jiran.
Beliau berkata kerjasama erat yang turut melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta rakan sejawat dari Thailand dan Indonesia itu, merangkumi pelaksanaan operasi bersama, rondaan bersepadu dan mesyuarat kumpulan kerja secara berkala.
Dalam pada itu, Yusri berkata pendekatan kepolisan komuniti terus menjadi elemen penting bagi pasukan PGA, yang kini beroperasi di 178 pos kawalan di seluruh negara.
Beliau berkata hubungan rapat yang dijalinkan oleh anggota bertugas dengan masyarakat setempat, membolehkan penduduk berasa lebih yakin dan selesa untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa.
“Maklumat yang disalurkan oleh komuniti ini sangat membantu kita mencapai kejayaan dalam mematahkan pencerobohan pendatang.
“Malah, mereka juga menjadi mata dan telinga kita dalam mengekang penyeludupan keluar barangan kawalan dan bersubsidi seperti petrol, diesel, beras, tepung serta gas memasak,” katanya.
-- BERNAMA