Skip to main content

Malaysia

PDRM sahkan lagi rakyat Malaysia ditahan di Indonesia disyaki seludup dadah - Pengarah JSJN

FB Penerangan Puspenerbal
Penguat kuasa menemui empat bungkusan mengandungi dadah yang dililit pada tubuh suspek menggunakan korset, yang dianggarkan bernilai lebih RM600,000. - Gambar Puspenerbal
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang lagi rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki terbabit dalam cubaan menyeludup dadah di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan penahanan itu ketika dihubungi Astro AWANI, pada Selasa.

"Ya, kita (PDRM) sudah dimaklumkan dan kita akan ambil tindakan susulan," ujarnya. 

Image
Rakyat Malaysia, dadah, indonesia - Penerangan Puspenerbal
Penguat kuasa menemui empat bungkusan mengandungi dadah yang dililit pada tubuh suspek menggunakan korset, yang dianggarkan bernilai lebih RM600,000. - Gambar Puspenerbal

BACA: Lagi rakyat Malaysia ditahan seludup dadah di lapangan terbang Indonesia

Beliau berkata, lelaki berusia 22 tahun itu ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup masuk empat bungkusan mengandungi kira-kira satu kilogram dadah jenis metamfetamin serta 1,089 biji pil ekstasi. 

Dadah berkenaan dipercayai disembunyikan pada tubuh suspek menggunakan korset bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Suspek yang dipercayai menaiki pesawat dari Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu dilaporkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda pada jam 11.16 pagi.

Memetik laporan media tempatan, pihak berkuasa Indonesia menerima maklumat risikan kira-kira pukul 9.50 pagi berhubung cubaan penyeludupan itu sebelum menyelaraskan operasi pemantauan dan sekatan.

Operasi itu menyaksikan anggota ditempatkan di beberapa lokasi strategik, termasuk kawasan apron, pemeriksaan imigresen serta pemeriksaan sinar-X Jabatan Kastam.

Hasil pemeriksaan, penguat kuasa menemui empat bungkusan mengandungi dadah yang dililit pada tubuh suspek menggunakan korset, yang dianggarkan bernilai lebih RM600,000.

Portal berkenaan melaporkan, siasatan awal mendapati suspek mengaku bertindak sebagai keldai dadah selepas dihimpit masalah kewangan dan bebanan hutang

Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut menggagalkan cubaan menghantar bungkusan kargo mengandungi syabu yang dipercayai akan dihantar ke Ternate, Maluku Utara.

Polis Indonesia kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement