Skip to main content

Malaysia

Peruntukan RM1 juta dipertimbang untuk pembangunan sukan angkat berat

[TB]_Atlet Komanwel 3_ASTRO AWANI
Mohammed Taufiq ketika ditemui pemberita semasa program menyambut pulang atlet-atlet negara dari sukan Komanwel Glasgow 2026 di KLIA. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

SEPANG: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempertimbangkan peruntukan tambahan sehingga RM1 juta setahun kepada Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bagi memperkukuh pembangunan sukan berkenaan.

Menterinya, Mohammed Taufiq Johari berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Jabatan Belia dan Sukan (JBS) serta Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bagi mengenal pasti keperluan sebenar persatuan.

Jelasnya, peruntukan tambahan itu antara lain perlu mengambil kira kos pengurusan dan gaji jurulatih, selain pembangunan atlet bagi memastikan angkat berat terus menjadi antara sukan teras berprestasi tinggi negara.

“Namun begitu, saya telah menghubungi Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat dan beberapa pihak daripada persatuan untuk kita berbincang lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

“Salah satunya adalah disebabkan kos ataupun gaji jurulatih dan sebagainya. Ini kita akan membuat perbincangan secara mendalam lagi untuk ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas program menyambut pulang atlet-atlet negara dari sukan Komanwel Glasgow 2026 di sini, hari ini. 

Menurutnya, kerajaan menerusi MSN sudah menyalurkan RM4.1 juta pada tahun ini bagi pembangunan atlet dan jurulatih angkat berat.

Ia merangkumi program Road to Gold (RTG) membabitkan dua atlet, program podium (lapan atlet) serta program pelapis (dua atlet), selain program pembangunan bakat baharu.

Dr Mohammed Taufiq berkata, peruntukan tambahan yang diperlukan persatuan perlu diperincikan terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat.

“Boleh jadi besar, boleh jadi kecil, tetapi dari segi pecahannya kalau itu realistik dan juga boleh memenuhi perkara yang sepatutnya, jadi itu kita bawa kepada perbincangan lebih dalam,” katanya.

Beliau berkata, angkat berat merupakan antara sukan yang diberi perhatian KBS dalam usaha negara memburu pingat emas pertama di Sukan Olimpik.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata KBS turut menyalurkan RM1.1 juta wang sagu hati kepada atlet yang berjaya menyumbang pingat emas, perak dan gangsa.

Katanya, penerima pingat emas menerima RM80,000, manakala tambahan RM10,000 diberikan sekiranya atlet berkenaan memecahkan rekod, menjadikan jumlah keseluruhan RM90,000.

Pemenang pingat perak pula menerima RM40,000, manakala gangsa RM20,000.

"MSN turut membincangkan cadangan meningkatkan kadar wang sagu hati berkenaan, namun ia masih di peringkat perbincangan dan memerlukan sumber dana tambahan termasuk daripada sektor korporat.

"Kebajikan atlet dan jurulatih perlu diberi perhatian secara menyeluruh bagi memastikan pembangunan sukan angkat berat dapat dilaksanakan secara berterusan," ujarnya.

Must Watch Video

Advertisement